Anda di sini

Yut derita ketumbuhan, perlu bantuan kewangan

Advertisement
 Han (enam kanan) dan Zaidi (lima kanan) menyerahkan sumbangan kepada ahli keluarga Yut (empat kiri) sambil diperhati oleh ahli-ahli KRT Jalan Bajai/Kampung Hilir dan KRT Kampung Sungai Ud/Kampung Tengah.
TANGGUNGJAWAB SOSIAL: Han (enam kanan) dan Zaidi (lima kanan) menyerahkan sumbangan kepada ahli keluarga Yut (empat kiri) sambil diperhati oleh ahli-ahli KRT Jalan Bajai/Kampung Hilir dan KRT Kampung Sungai Ud/Kampung Tengah.

SUDAH hampir dua tahun Yut Padil menderita ketumbuhan di lehernya. Mulanya ketumbuhan tersebut hanya sebesar ibu jari dan hanya dianggap ‘biasa’ oleh Yut kerana ia hilang seketika.

Bagaimanapun, ketumbuhan itu muncul lagi tidak lama kemudian dan membesar sehingga menutupi leher dan telinga sebelah kiri Yut. Ketumbuhan itu juga hampir-hampir menjejaskan mata sebelah kirinya.

Yut telah dihantar ke Hospital Sibu kelmarin dengan menggunakan ambulans, namun kekangan kewangan menjadi kerisauan bagi ahli keluarga ibu tunggal dua anak ini.

Bagi menampung perbelanjaan merawat penyakit Yut, keluarganya memohon bantuan dari segi kewangan daripada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan sumbangan. Sumbangan boleh diberikan terus kepada anak Yut iaitu Sapina Yus atau dengan menghubungi Sapina melalui talian 01115905456.

Yut yang hanya bekerja kampung tinggal bersama anak perempuan, menantu dan dua cucunya di sebuah rumah yang agak usang di Kampung Sungai Ud, Dalat. Manakala seorang lagi anak perempuannya bekerja di Mukah.

Beberapa hari lepas, dengan bantuan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Bajai/Kampung Hilir yang dipengerusikan oleh Zaidi Lai dan KRT Kampung Sungai Ud/Kampung Tengah yang dipengerusikan oleh Han Bakri, Yut telah dihantar ke Hospital Dalat kerana demam dan terlantar di tempat tidur selama dua hari.

Selain itu, sebagai usaha memenuhi tanggungjawab sosial, kedua-dua KRT berkenaan juga telah menghulurkan sumbangan wang tunai RM300 dan barangan makanan untuk meringankan beban Yut sekeluarga.

Advertisement