Anda di sini

Untung sebelum cukai Petronas Chemicals naik kepada RM4.11 bilion

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Petronas Chemicals Group Bhd meningkat kepada RM4.11 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016 daripada RM3.83 bilion pada tahun sebelumnya.

Hasilnya turut bertambah kepada RM13.86 bilion berbanding RM13.54 bilion sebelum ini berikutan peningkatan jualan dan pengukuhan dolar AS yang dapat mengekang kesan harga produk petrokimia yang rendah.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata penggunaan kemudahan kilang pengeluarannya bagi tahun itu mencecah 96 peratus, melepasi kadar 85 peratus pada tahun lepas berikutan peningkatan aspek kilang serta bekalan makanan ternakan.

Ini turut meningkatkan hasil pengeluaran serta jumlah jualan.

Bagaimanapun, harga purata produk kumpulan itu susut berikutan penurunan harga minyak mentah.

Bagi tempoh suku keempat, keuntungan sebelum cukai kumpulan itu menokok kepada RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2016 berbanding RM912 juta pada suku sama tahun sebelumnya manakala perolehan pula bertambah kepada RM3.95 bilion daripada RM3.45 bilion, sebelum ini.

Bagi masa depan, kumpulan itu berkata sebahagian besar operasinya akan dipengaruhi terutamanya oleh keadaan ekonomi global serta kadar penggunaan kemudahan pengeluaran produk.

Kesan terhadap harga produk petrokimia itu diketahui berkait rapat dengan harga minyak mentah, khususnya bagi segmen olefin dan derivatif.

“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan kilang, bekalan makanan ternakan yang mencukupi selain aspek utiliti.

“Kumpulan ini akan meneruskan program kecemerlangan operasi dan pengurusan perhubungan dengan pembekal dalam usaha mengekalkan paras penggunaan kemudahan di tahap melepasi petunjuk industri yang rendah sedikit berbanding 2016, disebabkan peningkatan perancangan lebih tinggi,” katanya.

Kumpulan itu juga akan memulakan operasi di kilang baja baharu di Sipitang, Sabah, pada suku pertama tahun ini. — Bernama

Advertisement