Anda di sini

Pemandu lori didakwa cederakan anak dan isteri, tunjuk kemaluan

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tiga pertuduhan termasuk mencederakan anak serta menunjukkan kemaluan kepada anak tirinya, awal bulan lalu.

Lelaki yang berusia 37 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas anaknya yang berusia tiga tahun menggunakan sebuah meja dan mencederakan anak tirinya yang berusia 14 tahun.

Bagi kesalahan mencederakan menggunakan meja, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Kesalahan mendatangkan cedera, dia didakwa di bawah Seksyen 323 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh melakukan perbuatan yang mengaibkan iaitu dengan cara membuka tuala dan menunjukkan kemaluannya kepada anak tirinya mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan mendatangkan cedera parah ke atas isterinya yang berumur 32 tahun dengan cara memukul wanita itu sehingga patah tulang hidung menggunakan sebatang kayu meja.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lembah Subang, di sini pada 5 petang, 5 Feb lalu.

Mahkamah Sesyen membenarkan jaminan RM15,000 bagi kesalahan tersebut dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dengan apa-apa cara sekalipun dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Di Mahkamah Majistret pula, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee menawarkan jaminan RM6,000 untuk setiap pertuduhan berserta syarat tambahan sama yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen.

Tertuduh yang diwakili peguam P. Chakaravarthi memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah atas alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarga dan tidak mampu membayar jaminan yang tinggi kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Mahkamah Majisret membenarkan jaminan berjumlah RM7,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan serta menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement