Anda di sini

Lelaki dipenjara 48 tahun rogol dua anak saudara

Advertisement

KOTA BHARU: Gara-gara merogol dua anak saudara yang merupakan adik-beradik berusia 15 dan 16 tahun pada 2015, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 48 tahun dan 50 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini semalam.

Tertuduh yang berusia 44 tahun menukar pengakuan kepada bersalah semalam, terhadap lima pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Pada 30 Dis 2015, bekas pemandu jentolak itu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah dan didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak saudaranya berusia 16 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Pasir Puteh, antara jam 7 pagi hingga 8 pagi pada Ogos dan November 2015.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima pula, tertuduh didakwa merogol seorang lagi anak saudaranya yang berusia 15 tahun, di tempat sama, antara 7 pagi hingga 8 pagi pada Ogos, September dan Oktober 2015.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Nazri menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan 20 sebatan dan bagi pertuduhan kedua, keempat dan kelima dia dipenjara masing-masing 12 tahun dengan 10 sebatan.

Hakim memerintahkan hukuman berjalan berturut-turut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Dis 2015.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon hukuman berat kepada tertuduh kerana mengambil kesempatan terhadap dua anak saudaranya yang naif dan sepatutnya lelaki itu melindungi mereka, selain mangsa masih di bawah umur dan perbuatan yang dilakukan itu adalah sangat jijik.

Mengikut fakta kes, tertuduh masuk ke bilik mangsa pertama yang berusia 16 tahun ketika orang lain tiada di rumah dan memaksanya melakukan hubungan seks pada bulan Ogos dan November 2015.

Kejadian sama turut menimpa adik mangsa yang berusia 15 tahun pada Ogos, September dan Oktober 2015.

Kedua-dua mangsa diugut supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada orang lain dan turut dipaksa melakukan hubungan seks sekiranya tidak mahu rakaman gambar bogel mereka disebarkan kepada umum. — Bernama

Advertisement