Anda di sini

Dua sahabat dipenjara sebulan curi sawit

Advertisement

MIRI: Gara-gara cuba mencuri buah kelapa sawit, dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini pagi semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukan serta mengambil kira kepentingan awam.

Sim Chik Fook, 39, dan Yajid Narawi, 41, kedua-duanya dari Bekenu didakwa mengikut Seksyen 379 dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tiga setengah tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didakwa mencuri buah kelapa sawit milik sebuah syarikat perladangan dan diletakkan di bawah jagaan Sukamian Lani.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 4 petang, pada 11 Februari lalu di SPAD Ladang Surea Jalan Kara, Jalan Persekutuan Miri-Bintulu.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement