Anda di sini

Vietnam gamit rasa pilu dan syukur PUSPANITA PKS

Advertisement
 
__alt__

RASA pilu dan syukur sempat bertandang dalam sanubari ahli-ahli Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Politeknik Kuching Sarawak (PKS) ketika melawat Vietnam, baru-baru ini.

Ketika mengadakan lawatan sambil belajar dan melaksanakan program khidmat masyarakat di negara tersebut, PUSPANITA PKS berkesempatan menyelami keadaan hidup sebahagian masyarakat di Vietnam.

Semasa melawat Madrasah Jamiaa As Saadah, District 6 dan Madrasah An Anwar di Ho Chi Minh, rombongan PUSPANITA PKS telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk selain menjalinkan hubungan silaturahim dengan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Para peserta rombongan tersentuh hati dan pilu apabila melihat anak-anak yang belajar di madrasah tersebut sedikit pun tidak menunjukkan bahawa mereka hidup dalam serba kekurangan. Situasi yang sama juga digambarkan oleh tenaga-tenaga pengajar yang menguruskan madrasah itu.

Walaupun semua sudah berumur dan nampak tidak berupaya untuk bekerja, tetapi hakikatnya mereka adalah insan yang sangat kuat kerana masih mampu menguruskan madrasah tersebut walaupun dalam usia yang lanjut.

Ini membuatkan para peserta rombongan menyimpan hasrat untuk kembali semula ke madrasah-madrasah ini suatu hari nanti untuk mengadakan program khidmat masyarakat sekali lagi.

Semasa lawatan itu juga, para peserta telah diberi latihan modul kepimpinan dengan bimbingan pihak Travellova. Pada latihan tersebut, para peserta didedahkan dengan keadaan kehidupan masyarakat setempat Vietnam semasa zaman perang dan kehidupan sekarang. Rombongan juga dibawa ke tempat-tempat bersejarah yang menjadi tumpuan para pelancong.

Para peserta juga mempelajari bahawa setiap jenis bentuk muka bumi di Vietnam mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Hasil daripada latihan ini, para peserta berasa syukur kerana dilahir dan dibesarkan di bumi Malaysia yang jauh lebih baik daripada tempat yang dilawati tersebut.

Kesabaran peserta program juga diuji apabila perjalanan dari satu tempat ke tempat lain mengambil masa yang lama dan terpaksa mengharungi jalan raya yang sangat sesak.

Setelah penat dengan aktiviti lawatan dan khidmat masyarakat pada siang hari, para peserta rombongan pergi membeli-belah pada sebelah malam sebagai terapi untuk menghilangkan kepenatan.

Sambil membeli-belah buah tangan untuk dibawa pulang, ahli-ahli PUSPANITA PKS ini sekali lagi berkesempatan memerhati kesungguhan rakyat Vietnam berniaga untuk menyara hidup dan meningkatkan ekonomi mereka.

Bagi ahli-ahli PUSPANITA PKS, program ini banyak menyedarkan mereka agar mensyukuri hidup di Malaysia yang jauh lebih selesa. Di Vietnam melalui pemerhatian ketika lawatan, penduduknya yang ramai masih hidup dalam serba kekurangan dengan rumah yang kecil, jalan raya sesak, harga makanan yang sangat mahal dan kemudahan-kemudahan lain yang tidak mencukupi.

Khidmat masyarakat dan latihan yang julung kalinya diadakan di luar negara oleh PUSPANITA PKS ini juga telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa setiap peserta program.

  • oleh
  • Advertisement