Anda di sini

Trump pukau penyokong dengan ucapan agresif di Florida

Advertisement

MELBOURNE: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin menyampaikan ucapan yang berani dan agresif di Florida, seperti ketika beliau berkempen untuk pilihan raya presiden pada 2016, yang memukau penyokong selain menegaskan bahawa segalanya baik sahaja di White House walaupun berminggu-minggu keadaan tidak menentu.

Beliau turut mengecam sasaran kegemarannya, media berita “tidak jujur” yang menurutnya telah menjadi “sebahagian daripada sistem yang korup”,

Pada hujung bulan pertama yang bergolak sebagai presiden, bilionair populis itu menjelajah dengan kuasa presiden untuk mempamerkan stail dan isi sewaktu berkempen.

Selepas beliau turun dari pesawat Air Force One disambut oleh sorakan yang memekak, beliau memasuki sebuah bangsal pesawat yang sesak dan dibawa ke tengah-tengah beberapa ribu pengikut yang paling disayanginya – kebanyakannya warga lelaki Amerika dari kelas pertengahan berkulit putih yang berasakan mereka telah ditinggalkan oleh ekonomi negara yang telah beralih arah.

“Saya di sini kerana saya mahu bersama rakan-rakan saya dan bersama rakyat,” beliau mengakui.

Trump menggunakan penyampaian yang nyaring dan kuat – satu yang menambat hati jutaan pengundi ketika berkempen pada tahun lepas – untuk memberi jaminan kepada rakyat Amerika bahawa beliau sedang menunaikan janji untuk mengecilkan kerajaan, membina semula angkatan tentera, menyekat imigresen, dan memansuh serta menggantikan pembaharuan penjagaan kesihatan yang dilaksanakan oleh bekas presiden Barack Obama.

“Ini adalah perubahan berzaman,” kata presiden baharu itu di acara berkenaan di Melbourne, sebuah bandar raya yang disinari matahari di Space Coast, Florida.

Namun Trump melengkapkan bulan pertama sebagai presiden dengan pentadbirannya diselubungi masalah di Washington, di mana penggubal undang-undang berjanji untuk menyiasat lanjut hubungan yang mungkin beliau jalin dengan Rusia sebelum pilihan raya, penasihat keselamatan negara terpaksa meletak jawatan, dan seorang calon kabinet menarik diri di tengah-tengah kontroversi.

“White House berjalan dengan begitu lancar, begitu lancar,” tegas Trump, sebelum meneruskan kecamannya terhadap media AS.

“Saya juga mahu bercakap kepada anda tanpa penuras berita palsu,” kata Trump.

“Mereka telah menjadi sebahagian besar masalah. Mereka merupakan sebahagian daripada sistem yang korup,” katanya sambil meneruskan perang terbuka dengan media yang telah menandakan kepimpinannya yang mentah.

Selain hakikat bahawa ahli perniagaan bilionair itu sekarang merupakan pemimpin dunia bebas, acara itu mirip sekali dengan kempen Trump - daripada susun atur, kepada muzik yang dirakam dan penyampaian presiden itu yang amnya spontan.

Satu-satunya perkara yang tidak ada adalah serangan ke atas pencabarnya dari Parti Demokrat pada 2016, Hillary Clinton.

Trump mengulangi ikrar untuk membanteras terorisme, dan berkata beliau sudah “mengarahkan tindakan yang tegas untuk memastikan pengganas radikal Islam tidak memasuki negara kita”.

Beliau juga berkata pentadbirannya akan mengemukakan “dalam masa beberapa minggu” satu rancangan untuk memansuhkan dan menggantikan “bencana yang dikenali sebagai Obamacare”.

Sementara itu Wanita Pertama Melania Trump, biasanya segan dan bersuara lembut di sisi suaminya, memeranjatkan ramai apabila beliau menyebut Doa ‘Bapa Kami’ untuk memulakan acara, sebelum beliau mengecam musuh suaminya dan pengkritiknya sendiri.

“Marilah kita berdoa,” katanya sebelum beliau melafazkan doa Kristian yang diketahui ramai itu. — AFP

Advertisement