Anda di sini

Terap inovasi dan kreativiti dalam subjek keusahawanan, kata Irwan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Universiti tempatan digesa menerapkan lebih banyak kurikulum berteraskan inovasi serta kreativiti sebagai komponen utama dalam subjek keusahawanan masing-masing.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kerajaan menggalakkan langkah sedemikian bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda selain menjayakan hasrat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita akan dapat meningkatkan eksport (menerusi peningkatan bilangan usahawan muda yang berpandangan jauh). Rantau ASEAN ini sahaja mempunyai penduduk lebih 600 juta orang.

“Dasar sekatan di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah (misalnya) akan memberi manfaat kepada ASEAN dari segi eksport di samping menumpukan usaha untuk memasuki pasaran China dan India,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup program keusahawanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu UKM Masterclass Entrepreneurship di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Cancelor UKM Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

UKM mewujudkan program khas keusahawanan satu semester itu sejak tahun lepas yang turut dikendalikan oleh Mohd Irwan, dalam usaha melahirkan usahawan yang mahu menubuhkan syarikat sendiri.

Mengulas lanjut, Mohd Irwan berkata program elektif itu setakat ini melibatkan 13 penuntut perintis mewakili pelbagai bidang serta tahap pengajian.

“Saya telah menghasilkan kandungan (pengajian) untuk satu semester yang bukan sahaja (membabitkan pengajian) dalam kelas tetapi juga di luar kelas. Program ini kita buka untuk semua fakulti di UKM,” katanya.

Menurutnya, 13 penuntut itu turut didedahkan dengan pengalaman usahawan dan penggiat industri bagi membantu mereka membuka perniagaan sendiri.

“Kursus ini tiada peperiksaan. (Mereka) lulus dengan menghasilkan produk untuk pasaran dan ada syarikat sendiri manakala latihannya pula menerusi penyertaan di dalam kelas,” katanya.

Sementara itu, Noor Azlan berkata UKM tidak ketinggalan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan serta melatih seramai mungkin penuntutnya  menceburi bidang keusahawanan.

“UKM akan terus memastikan usaha ini dapat diketengahkan dan dipertingkatkan untuk dijadikan model mengenai (aspek) pembelajaran di universiti,” katanya. — Bernama

Advertisement