Anda di sini

Cadangan pelaksanaan lesen tembakau tangani pengedaran tembakau tidak sah di pasaran

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau bertujuan untuk menangani pengedaran keluaran tembakau yang tidak sah dalam pasaran, kata Menteri Perusahaan Perladangandan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata pelaksanaan penguatkuasaan peraturan ini dijangka akan dapat mengurangkan penjualan dan penggunaan keluaran tembakau yang tidak sah dan mengurangkan ketirisan pungutan cukai oleh kerajaan.

Penguatkuasaannya juga selari dengan komitmen kerajaan di bawah protokol Konvensyen Rangka Kerja mengenai Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Dunia  (WHO-FCTC) untuk membendung penularan masalah yang berkaitan dengan kawalan tembakau termasuk rokok tidak sah.

Pelaksanaan peraturan ini dapat memastikan kerajaan mematuhi segala peruntukan di bawah protokol tersebut, sekaligus menaikkan imej Malaysia sebagai negara yang memandang serius terhadap isu kawalan tembakau dan rokok, katanya  dalam kenyataan kelmarin.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Sesi Konsultasi Bersama Industri berhubung Cadangan Pelaksanaan Penguatkuasaan Pelesenan Tembakau Dan Keluaran Tembakau di sini.

Mah mempengerusikan sesi tersebut untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak terutamanya industri tembakau dan wakil pengedar serta peruncit berhubung cadangan tersebut yang diperuntukkan di bawah Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 [Akta 692].

Katanya jika masalah ini tidak dapat dikawal, dikhuatiri keluaran tembakau seperti rokok tidak sah bukan sahaja akan menjejaskan pendapatan negara malah turut mengundang masalah kesihatan, sosial dan jenayah.

Beberapa negara ASEAN seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah melaksanakan pelesenan bagi pengedaran keluaran tembakau dan terbukti berkesan untuk menangani masalah ini.

Mah berkata Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah menyediakan kemudahan infrastruktur, logistik dan sistem pelesenan selain kesiapsiagaan kakitangan dalam menguatkuasakan peraturan ini.

Seramai 38 wakil daripada Pengilang Tembakau (Philip Moris, British American Tobacco, Ransmark Tobacco Company), Pengusaha Tembakau Tempatan, Persatuan Peruncit dan Restoran; Badan Bukan Kerajaan (FOMCA & Persatuan Pengguna Pulau Pinang) dan wakil Pengedar Rokok menghadiri sesi konsultasi itu. — Bernama

Sesi konsultasi bersama pihak-pihak berkepentingan ini telah diadakan sejak 2011.

Berdasarkan maklumat daripada Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM), dianggarkan terdapat 80,000 pengedar rokok di Malaysia. — Bernama

Advertisement