Anda di sini

Pewaris Samsung diberkas dalam siasatan rasuah

Advertisement

SEOUL: Pendakwa raya semalam menangkap ketua hakiki konglomerat terbesar di Korea Selatan, Samsung, atas tuduhan rasuah dan lain-lain yang ada kaitan dengan skandal rasuah politik yang membawa kepada pendakwaan Presiden Park Geun-Hye oleh Parlimen.

Dalam tamparan baharu kepada imej korporat syarikat elektronik gergasi itu, sebuah mahkamah daerah menyebut tentang bukti baharu ketika meluluskan waran tangkap terhadap naib pengerusi Lee Jae-Yong, yang menyelia syarikat elek-tronik gergasi keluarganya itu bagi pihak bapanya yang uzur.

Di antara dakwaan lain, Lee dituduh memberi sogok hampir berjumlah AS$40 juta (RM180 juta) kepada seorang penasihat Presiden Park untuk mendapatkan bantuan dasar.

“Ia diakui bahawa ia adalah perlu untuk menangkap (Lee Jae-Yong) berdasarkan satu tuduhan jenayah yang baharu ditambah dengan bukti baharu,” seorang jurucakap mahkamah menyebut dalam satu kenyataan.

Samsung memberi jawapan yang berhati-hati ekoran pe-nangkapan itu manakala nilai saham syarikat merudum, jatuh sebanyak kira-kira 1.5 peratus dalam dagangan sebelah pagi.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memasti-kan kebenaran didedahkan dalam prosiding mahkamah pada masa depan,” syarikat itu menyebut dalam satu kenyataan.

Lee sudah ditahan di sebuah pusat tahanan selepas dia muncul di mahkamah kelmarin ketika hakim me-nimbang sama ada untuk mengeluarkan waran tangkap atau tidak. Dia akan terus berada dalam tahanan reman sementara menunggu perbicaraan yang kemungkinan akan bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Lee, anak ketua kumpulan Samsung, Lee Kun-Hee, sudah disoal siasat beberapa kali berhubung peranan yang didakwa dimainkannya dalam skandal yang telah meng-      gegarkan negara itu.

Lee, 48, yang digambarkan sebagai suspek penting dalam skandal berkenaan, berjaya mengelak daripada ditangkap secara rasmi pada bulan lepas, setelah mahkamah memutuskan bukti tidak mencukupi.

Namun pendakwa raya Selasa lepas membuat cubaan kedua, dengan menyatakan mereka telah mengumpul bukti lanjut sejak beberapa minggu lepas.

Penangkapannya, yang pertama bagi seorang ketua Samsung, pasti mengejutkan kumpulan tersebut, yang merupakan bahagian yang besar dalam ekonomi Korea Selatan dan turut merangkumi pembuat telefon pintar terbesar di dunia, Samsung Electronics.

“Ini adalah satu tamparan kepada imej Samsung sebagai pemain global dalam jangka pendek,” kata penganalisis HMC Investment Securities, Greg Roh, kepada AFP.

Lee Seung-Woo dari IBK Investment Securities berkata mengambil kira awan yang menyelubungi Lee, pada waktu syarikat itu cuba menjalankan penstrukturan yang rumit, Samsung boleh mengelak daripada membuat pelaburan jangka panjang seperti pemerolehan dan penggabungan seberang laut.

Syarikat itu sudah terkial-kial ekoran masalah berhubung penarikan alat utamanya Galaxy Note 7 dan laporan membayangkan ia boleh dikenakan sekatan oleh pihak berkuasa seberang laut jika Lee dihukum.

Datuk dan bapa Lee kerap menghadapi masalah dengan undang-undang tetapi tidak pernah dipenjara.

Skandal itu berkisar sekitar Choi Soon-Sil, yang dituduh menggunakan hubungannya yang erat dengan Park untuk memaksa syarikat tempatan “menderma” hampir AS$70 juta (RM315 juta) kepada yayasan-yayasan tidak mencari keuntungan yang didakwa digunakan oleh Choi untuk keuntungan sendiri.

Samsung merupakan penderma terbesar kepada yayasan-yayasan terbabit. Ia juga dituduh memberi jutaan euro secara berasingan kepada Choi untuk membiayai latihan ekuestrian anak perempuannya di Jerman.

Mahkamah menolak permintaan pendakwa raya bagi waran tangkap ber-asingan untuk seorang lagi eksekutif Samsung, yang juga ketua Persekutuan Ekuestrian Korea, kerana menurutnya dia memainkan peranan terbatas dalam skandal itu.

Lee mengambil alih tampuk Samsung – kumpulan per-niagaan terbesar di Korea Selatan – sejak bapanya meng-alami serangan sakit jantung pada 2014.

Pendakwa raya menyiasat sama ada Samsung telah membayar Choi untuk mendapatkan kelulusan kerajaan atau tidak bagi penggabu-ngan kontroversi di antara dua unit Samsung yang dilihat sebagai satu langkah penting ke arah memastikan pemindahan kuasa yang lancar kepada Lee.

Penggabungan Samsung C&T dan Cheil Industries pada 2015 ditentang oleh ramai pelabur yang mendakwa ia sengaja menurunkan nilai saham Samsung C&T.

Tetapi perjanjian itu dilaksanakan selepas tabung pencen kerajaan di Seoul – pemegang saham penting Samsung – meluluskannya.

Penangkapan Lee dilihat sebagai tamparan kepada Park yang melancarkan cabaran di Mahkamah Perlembagaan untuk mem-        batalkan pendakwaannya oleh Parlimen. — AFP

Advertisement