Anda di sini

Cabul: Ketua bahagian dapur dipenjara gagal bayar denda RM8,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ketua bahagian dapur sebuah restoran terpaksa meringkuk di dalam penjara selepas gagal membayar denda RM8,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang pengurus restoran itu.

Bagi pertuduhan pertama, Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Mohd Haris Shafie, 38, kerana melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 28 tahun, di bahagian dapur sebuah restoran di sini, pada jam 8.30 malam 10 Jan lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu. 

Tertuduh juga didenda RM5,000 atau penjara lima bulan kerana mencabul mangsa sama di lokasi sama, pada 8.15 malam pada 17 Jan lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Dia gagal membayar denda itu dan dihantar ke Penjara Kajang.

Terdahulu,tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal mengambil kira trauma yang dialami mangsa.

Mengikut fakta kes, tertuduh meminta pemetik api daripada mangsa dan terus menyeluk poket baju mangsa dan pada kali kedua ketika mangsa sedang memotong ayam, tertuduh memeluk mangsa dari arah belakang sebelum mangsa melepaskan diri dan memarahinya.

Di mahkamah sama, seorang bapa dua anak M.Gobi Nair, 38, dihukum penjara lapan bulan kerana memecah masuk kedai Swan MJ Boutique Sdn Bhd, di Sentul, jam 10.48 pagi, 31 Okt tahun lalu dan mencuri 10 utas jam tangan bernilai RM1,160.20.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Nur Farah Adilah. — Bernama

Advertisement