Anda di sini

Adam mencabar diri hingga di luar jangkaan

Advertisement
__alt__

BERBEKALKAN iltizam padu dan semangat juang tinggi, siapa sangka individu istimewa yang dilabel kurang upaya ini mampu mencapai kejayaan lebih daripada apa yang boleh dicapai insan normal.

Dari mata kasar, Azzrulkhan Hasrullah Matsah atau lebih mesra dengan panggilan Adam adalah insan kurang sempurna, namun kegigihannya untuk terus mencabar diri terutama dalam aktiviti lasak adalah di luar jangkaan.

Lahir seperti insan normal pada tahun 1992, Adam berdepan detik hitam apabila didiagnos doktor menghidap penyakit leukemia seawal usia setahun dua bulan sehingga memberi kesan akibat rawatan yang dijalaninya, kakinya tidak dapat digunakan kerana sendi lemah sehingga menjadi cacat.

Dia yang menjangkau usia 25 tahun juga merupakan graduan Pengajian Komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Kuala Lumpur.

Merupakan anak keempat dari sembilan beradik, Adam dibesarkan dalam suasana keluarga yang cukup sempurna.

Ibunya, Sarimah Lely merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan manakala ayahnya, Matsah Wahab juga seorang guru Pendidikan Khas yang mengajar di SK Semerah Padi, Kuching.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah apabila baru-baru ini Adam berjaya mencatat rekod dengan menaiki 2,058 anak tangga Menara Kuala Lumpur dengan menggunakan kudrat dua tangannya dalam masa satu jam 40 minit.

Adam ketika dihubungi Utusan Borneo baru-baru ini pada awalnya agak kekok memulakan bicara, namun setelah beberapa soalan diajukan kepadanya, dia mula membuka bicara bait demi bait.

“Sebagai seorang orang kurang upaya (OKU) dan lahir tanpa dua kaki, sememangnya menjangkaui apa yang mampu dilakukan orang normal itu adalah sesuatu yang amat sukar.

“Namun, saya mencabar diri dan terus menjadikan diri saya sendiri, termasuk dengan kekurangan yang saya miliki sebagai pemangkin semangat saya untuk terus menempa nama dan mencapai kejayaan ini,” katanya.

Menceritakan lanjut pengalaman menaiki anak tangga Menara Kuala Lumpur Januari lalu, katanya, ia bukan sesuatu yang mudah malah sepanjang dia menaiki tangga tersebut, dia terpaksa berhenti beberapa kali untuk berehat.

“Kalau tidak berhenti berehat mungkin boleh lebih cepat naik ke puncak,” katanya.

Ketika ditanya apakah sumber inspirasi kepadanya untuk terus menempa nama dalam sukan lasak seperti mendaki gunung dan menaiki tangga Menara Kuala Lumpur itu, dia memberitahu, kemahuan diri adalah kunci segala kejayaan.

Katanya, ‘when there is a will, there is a way’ (di mana ada kemahuan di situ ada jalan).

“Saya tidak mempunyai kaki, jadi pergerakan segalanya bergantung 100 peratus dengan kekuatan badan dan kedua-dua tangan saya dan ia pasti mustahil sekiranya saya tidak mempunyai hati yang kuat dan cekal.

“Walaupun banyak kali dihalang kedua-dua orang tua saya yang bimbang dengan keadaan saya, namun saya masih mahu terus mencabar diri saya sendiri.

“Jadi, dengan ada kemahuan dan kecekalan hati, itulah yang menjadi kunci kejayaan saya selama ini,” jelasnya lagi.

Pemuda luar biasa ini juga sebelum ini pernah mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai OKU pertama Malaysia yang mendaki gunung secara merangkak sehingga ke puncak apabila berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu, Sabah bersama rakan ekspedisi lain pada Oktober tahun lalu.

Katanya, dengan adanya pengiktirafan selain penglibatannya dalam aktiviti lasak lain, dia mahu menjadi sumber inspirasi kepada anak muda khususnya golongan OKU agar tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk berjaya.

Adam dengan yakinnya berkongsi cita-citanya dengan pemberita untuk menawan gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest suatu hari nanti.

“Kita tidak akan tahu tahap kebolehan diri sendiri sekiranya enggan mencuba, saya sendiri tidak tahu sejauh mana lagi saya boleh mendaki dengan cara merangkak namun impian saya adalah untuk menawan gunung tertinggi di dunia, Gunung Eve­rest.

“Saya akan cuba jadikan impian itu realiti dan saya mahu semua golongan OKU di luar sana merasakan yang sama seperti saya, teruskan berusaha sehingga berjaya,” katanya lagi.

Kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu itu merupakan cubaan keduanya apabila pada pertama kali percubaan, dia gagal sampai ke puncak.

Awal bulan ini, Adam bersama rakannya yang lain juga berkesempatan mendaki Gunung Trusmadi, Sabah, namun ia hanya terhenti setengah jalan kerana mengalami kekejangan otot ketika mendaki.

“Bagaimanapun saya gagal sampai ke puncak kerana mengalami hipotermia, ketika itu saya berada di ketinggian 2,400 meter pada jam 1 pagi,” jelasnya.

Anak kelahiran bandar raya Kuching ini juga sebelum ini mendapat perhatian apabila berjaya mendaki beberapa bukit termasuk Bukit Broga, Bukit Gasing, Bukit Saga dan Bukit Tabur di Selangor.

  • oleh
  • Advertisement