Anda di sini

Tujuh lokasi di Langkawi yang wajib dikunjungi

Advertisement

Bahagian II

 Lokasi tempat burung helang makan terletak di Sungai Kilim.
BEBAS: Lokasi tempat burung helang makan terletak di Sungai Kilim.

KEPENATAN menaiki dua penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ke Langkawi masih lagi terasa.

Walaupun terasa penat, pengembaraan untuk hari pertama kami di Langkawi harus diteruskan.

Pada jam 8.30 pagi saya dan dua adik saya Mohamad Ardy Putera dan Zulkiffli Amir dijadual akan bergerak ke Jeti Langkawi Mangrove yang terletak di kawasan Pekan Kuah dengan jarak perjalanan hanya setengah jam dari hotel penginapan kami.

Ada tujuh tempat menarik bakal kami kunjungi pada sebelah pagi pengembaraan iaitu Gua Kelawar (Bat Cave), kolam ikan (Fish Farm), tempat burung helang makan (Eagle Feeding), Mangrove Sightseeing, Gua Buaya (Crocodile Cave), Open Sea (Andaman Sea) dan Icon Kilim Geoforest Park.

Pada sebelah petang kami bertiga dijadual berkunjung dan menaiki Langkawi Skycab atau dikenali Cable Car untuk menyaksikan dan menikmati sendiri pemandangan seluruh Pulau Langkawi.

Selesai membuat pembayaran dan tempahan bot di kaunter pembayaran di Jeti Tanjung Rhu atau Kilim Karst Geoforest Park, kami bertiga terus bergerak dan menaiki bot tersebut untuk menuju ke tujuh tempat yang ingin dikunjungi.

Menurut jurucakap kaunter tersebut, sebuah bot diperuntukkan kepada lapan penumpang dan harga tempahan juga berbeza-beza. Kami bertiga menggunakan pakej selama dua jam iaitu RM200 untuk sebuah bot.

Sepatutnya kami berkongsi bot bersama dengan penumpang-penumpang yang lain, tetapi untuk lebih selesa kami mengambil keputusan untuk menggunakan sebuah bot untuk kami tiga sahaja.

Gua Kelawar (Bat Cave)

Destinasi pertama kami bertiga ialah Gua Kelawar (Bat Cave). Gua Kelawar di Kilim merupakan sebahagian daripada geopark yang dipromosikan dalam kalendar pelancongan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2007.

Gua Kelawar ini terletak di timur laut Pulau Langkawi, kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan kereta dari Pekan Kuah.

Kedudukan gua ini berada di kaki bukit di Kilim yang dikelilingi hutan paya bakau dan pintu gua pula menghadap Sungai Kilim.

Kerajaan negeri Kedah telah membina titi batu di dalam gua ini bagi kemudahan pelancong berjalan dan mereka tidak perlu takut untuk memijak lumpur dan selut paya bakau.

Dalam hutan paya bakau terdapat juga titian sepanjang 1000 meter dan dilengkapi dengan lampu pada waktu malam.

Di dalam gua terdapat pelbagai bentuk hiasan asli gua batu kapur seperti stalagtit dan stalagmit yang pelbagai bentuk dan saiz serta arca indah.

Para peminat geopark boleh melihat sendiri pelbagai khazanah alam yang belum terusik berusia jutaan tahun.

Burung-burung kelawar kelihatan tergantung di lelangit gua. Suasananya amatlah gelap dan menyeramkan.

Pemandu pelancong atau pemandu bot akan memberikan sebuah lampu suluh untuk digunakan semasa masuk ke dalam gua.

 Pemandangan indah di Gua Buaya yang menggamit jiwa.
UNIK: Pemandangan indah di Gua Buaya yang menggamit jiwa.

Gua Buaya (Crocodile Cave)

Destinasi kedua kami ialah Gua Buaya. Satu lagi gua unik yang mengalir melalui Sungai Kilim dan boleh diakses hanya semasa air surut dengan bot kecil. Ia pernah dihuni oleh buaya tetapi hari ini ia adalah rumah kepada beribu-ribu kelawar dan pelancong juga boleh melihat pembentukan batu kapur.

Tempat Burung Helang Makan (Eagle Feeding)

Perjalanan kami diteruskan lagi ke Tempat Burung Helang Makan. Perjalanan kami dari Gua Buaya ini membawa kami ke teluk yang lain di mana kami melihat lautan yang terbentang luas selain melihat burung helang yang menjadi ikon Pulau Langkawi ini terbang di angkasa mengelilingi kami.

Di sini pelancong boleh menikmati pemandangan indah serta mempesonakan sambil memberi makan burung helang.

Sebaik sahaja dilambungkan makanan, burung-burung helang berkepala putih akan mula menukik ke bawah air untuk merebut makanan. Melihat aksi burung-burung tersebut merupakan satu pengalaman menarik yang jarang dapat dilihat di tempat lain.

Kolam Ikan (Fish Farm)

Sebelum meneruskan perjalanan ke Icon Kilim Geoforest Park, kami singgah sebentar di salah sebuah Kolam Ikan (Fish Farm). Di sini kami melihat pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang dipelihara dalam sangkar seperti pari, sumpit, belangkas dan siput. Pengunjung yang singgah di sini turut berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan Langkawi di sebuah restoran khas.

Open Sea (Andaman Sea)

Sebelum kami berlepas ke destinasi terakhir iaitu Kilim Geoforest Park, kami terlebih dahulu menyusuri Sungai Kilim yang cukup luas yang bersempadan dengan Thailand.

Ini adalah pengalaman yang cukup indah bagi kami apabila melihat sendiri keindahan alam serta lautan biru yang terbentang luas serta beberapa pulau kecil termasuk Pulau Kasut yang sememangnya menyerupai kasut.

Kilim Geoforest Park

Akhirnya kami tiba di Kilim Karst Geoforest Park yang dibentuk oleh tujuh hutan simpan iaitu Hutan Simpan Pulau Langgun, Hutan Simpan Kuala Kisap, Hutan Simpan Tanjung Dagu, Hutan Simpan Gua Cherita, Hutan Simpan Ayer Hangat, Hutan Simpan Selat Panchur dan Hutan Simpan Pulau Timun, termasuklah hutan bakau.

Batuan di taman ini dibentuk oleh batu kapur yang berusia 490-350 juta tahun yang lalu.

Karst adalah bentuk muka bumi yang dibentuk oleh batu kapur ini yang tidak sekata. Puncak yang tajam pada kebanyakan batuan di sini diakibatkan oleh tindakan air hujan berasid ke atas batu kapur dan menyebabkan perlarutan pada rekahan dan perlapisan batuan meninggalkan puncak-puncak yang tajam pada batuan.

Terdapat beberapa geopark yang sangat bernilai tinggi dan menarik untuk diterokai di kawasan ini. Antaranya ialah Gua Kelawar, Gua Langsir, Pulau Anak Tikus, Teluk Cina Mati, Tasik Langgun, Teluk Mempelam, Gua Langsir, Gua Cherita, Gua Dedap dan kawasan Tanjung Rhu.

Kilim Karst terdiri daripada batuan Formasi Setul (batu kapur berwarna kelabu gelap) yang dibentuk daripada batu kapur.

Hampir tiga jam kami bertiga menjelajah dan mengembara di sekitar kilim, ia telah memberikan satu pengalaman baharu dan kenangan yang tidak dapat kami lupakan.

Selesai menikmati makan tengah hari di salah sebuah restoran di Jeti Tanjung Rhu, kami meneruskan perjalanan ke Langkawi SkyCab atau dikenali sebagai Cable Car, salah sebuah tempat yang harus dikunjungi sekiranya ke Langkawi.

 Kilim Geoforest Park yang terletak di Laut Andaman merupakan ikon dan daya tarikan pengunjung ke Langkawi.
IKON LANGKAWI: Kilim Geoforest Park yang terletak di Laut Andaman merupakan ikon dan daya tarikan pengunjung ke Langkawi.

Kereta Kabel Langkawi

Kereta Kabel Langkawi terletak di Gunung Mat Chinchang iaitu di barat laut Pulau Langkawi.

Kereta kabel ini mula dibuka kepada umum pada 27 Februari 2005 untuk memudahkan pelancong tiba ke puncak gunung yang tingginya 713 meter. Panorama gunung batu kapur zaman geologi Cambrian 500 juta tahun ini memang menarik.

Panjangnya ialah 2.2km dan terpanjang di dunia, mengalahkan kareta kabel di Switzerland.

Asalnya sistem pengurusan kereta kabel ini dikendalikan oleh Langkawi Cable Car.

Namun kini, ia diselenggara dan diuruskan oleh Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), iaitu anak syarikat milik penuh Syarikat Prasarana Negara Berhad. Sistem pengangkutan kereta kabel ini dibina dari bulan April 2001 hingga Ogos 2004.

Panjang keseluruhan kabel ialah 919.5 meter dan telah mencipta rekod Malaysian Book of Records.

Untuk sampai ke kereta kabel ini, pengunjung boleh menyewa kereta (RM100 untuk Proton Saga) terus pergi ke Oriental Village di kaki Gunung Mat Chinchang. Jauhnya 30 minit dari pekan Kuah.

Dari jauh lagi pengunjung berpeluang melihat kereta kabel terapung-apung tinggi di udara. Tiket dijual pada harga RM40 seorang untuk dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak. Waktu operasi biasanya antara jam 9.30 pagi hingga 7.00 malam.

Titian gantung bengkok kereta kabel Langkawi atau Langkawi SkyBridge adalah satu lagi daya tarikan yang unik di kompleks kereta kabel Langkawi. Ia siap dibina pada tahun 2004.

Titian gantung yang melengkung ini dibina di atas puncak Gunung Mat Chinchang.

Dihubungkan dari stesen puncak, titian ini tergantung setinggi 82 meter dari tiang tunggal dan jarak dari tanah puncak adalah 100 meter.

Titian ini unik kerana, walaupun ia tergantung tetapi ia hanya dipaut oleh tali-tali yang dinat kemas oleh sebatang tiang penahan.

Selain itu, strukturnya yang melengkung di lereng puncak tanpa menjejaskan tumbuhan-tumbuhan semula jadi di bawahnya juga merupakan tarikan seni bina pintar (intelligent architecture) yang mengagumkan.

Panjang titian gantung ini ialah 125 meter sekali gus menjadikannya antara struktur jambatan tergantung melengkung yang terpanjang di dunia.

Penulis sendiri teruja apabila merasa sendiri pengalaman menaiki kereta kabel ini.

Seperti penulis katakan pada siri pengembaraan pada Bahagian I minggu lepas, perasaan ‘gayat’ dan takut berkenaan sememangnya ada dalam hati, tetapi apabila sudah berada di dalam kereta kabel ini, ia adalah satu pengalaman manis yang tidak dapat penulis lupakan.

Selesai menaiki kereta kabel dan sebelum berlepas balik, kami sempat berkunjung ke Muzium 3D yang terletak bersebelahan dengan kereta kabel ini yang turut memaparkan pelbagai mural menarik.

Dalam perjalanan balik ke hotel penginapan kami di Pekan Kuah, kami sempat singgah seketika di kawasan Kapal Maritim berlabuh untuk merakamkan foto-foto menarik.

Pada perancangan asal, selepas balik dari Pangkalan Kapal Maritim ini, kami akan singgah di pantai Tanjung Rhu dan Pantai Tengah serta destinasi terakhir kami untuk hari pertama di Pantai Cenang yang cukup terkenal di Langkawi.

Kami difahamkan bahawa jalan menuju ke Pantai Cenang pada ketika itu sesak dan sukar untuk dilalui.

Kami mengambil keputusan untuk membatalkan niat ke Pantai Cenang dan meneruskan perjalanan balik ke hotel penginapan kami di Hotel Bahagia.

Perjalanan kami menjelajah Langkawi akan diteruskan pada keesokan harinya.

  • oleh
  • Advertisement