Anda di sini

MyHSR, LTA anugerah projek HSR kepada tiga anggota 1 konsortium

Advertisement

Terdiri daripada WSP Engineering, Mott MacDonald dan Ernst & Young

KUALA LUMPUR: MyHSR Corp Sdn Bhd Malaysia dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) telah menganugerahkan kontrak Rakan Kongsi Pembangunan Bersama (JDP) untuk Keretapi Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kepada tiga anggota sebuah konsortium.

Syarikat berkenaan ialah WSP Engineering Malaysia Sdn Bhd, Mott MacDonald Malaysia Sdn Bhd dan Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd,” kata MyHSR dan LTA dalam satu kenyataan bersama di sini, semalam.

JDP itu akan menawarkan sokongan pengurusan projek dan nasihat teknikal mengenai sistem serta operasi HSR, di samping membangunkan standard teknikal dan keselamatan untuk digunakan dalam projek tersebut, katanya.

Ia juga akan membantu Pasukan Projek Bersama yang diwujudkan antara MyHSR dan LTA dalam penyediaan dokumen tender untuk tender akan datang berkaitan aspek bersama projek itu, seperti pelantikan AssetsCo dan OpCo International,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, pelantikan JDP menandakan bermulanya perjalanan mencabar tetapi menarik untuk menjadikan projek HSR satu kenyataan.

Konsortium yang terdiri daripada WSP Engineering, Mott MacDonald dan Ernst & Young Advisory Services akan menyertai pasukan projek MyHSR dan LTA bagi membangunkan lagi projek terbabit, katanya.

Semua pasukan perlu bekerjasama rapat untuk memastikan projek itu dilaksana dengan jayanya. Pengumuman lanjut akan dibuat tidak lama lagi mengenai pelantikan lain bagi projek berkenaan,” katanya.

Ketua Eksekutif LTA, Ngien Hoon Ping berkata, dengan gabungan kepakaran dan pengalaman luas konsortium itu dalam projek HSR di peringkat antarabangsa, MyHSR dan LTA akan berupaya memulakan penyediaan untuk tender bersama akan datang untuk projek strategik ini.

Di samping kontrak Kajian Kejuruteraan Lanjutan yang diberikan sebelum ini oleh LTA bagi menjalankan kajian kejuruteraan untuk laluan HSR di Singapura, dua perkembangan ini menandakan babak seterusnya perjalanan kita untuk menyiapkan  projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang disasarkan pada akhir 2016,” tambahnya. — Bernama

Advertisement