Anda di sini

Maharaja Lawak Mega 2017 kembali gamatkan suasana

Advertisement
__alt__

KUMPULAN Bocey, Joras, Zero, Shiro antara nama yang telah menghidupkan dunia komedi di Malaysia.

Kembali ke pentas yang telah menjulang nama mereka sebagai pelawak, saingan hebat menanti daripada rakan seangkatan yang semakin mendapat tempat dalam hati penonton seperti Danial Lawak Solo, Puteh, Pistol dan ramai lagi.

Dan pada malam ini, Royal Teater Shah Alam akan kembali gamat de-ngan gelak tawa penonton apabila Maharaja Lawak Mega kembali membuka tirainya dengan barisan 15 peserta yang bukan calang-calang.

Tidak terikat dengan apa-apa tema bagi minggu pertama, pastinya setiap peserta mengambil kesempatan ini untuk menonjolkan kekuatan masing-masing bagi menakluk hati penonton dan juri tetap.

Kesemua 15 peserta telah pun diketahui seperti yang telah diumumkan dalam satu sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini. Namun persoalan yang masih belum terjawab adalah siapakah juri tetap untuk MLM 2017?

Jika musim lalu tugasan tersebut digalas oleh selebriti popular Shaheizy Sam, Bunga Citra Lestari, Najip Ali dan Ziana Zain, siapa pula pemilik kerusi panas juri Maharaja Lawak Mega musim ini?

Teka-teki siapakah gerangan yang akan mengkritik dan mengadili persembahan peserta MLM 2017 akan terungkai pada malam ini. Apa yang pasti, satu kejutan besar menanti para penonton pada malam ini.

Program berkonsepkan pertandingan realiti komedi yang akan kembali menawan hati penonton ini bakal bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan siaran serentak di Mustika HD (134). Ia juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG) dan Astro On Demand (OD).

Merupakan satu-satunya program komedi yang menghimpunkan barisan pelawak dari tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura, MLM 2017 bakal disertai oleh 15 kumpulan pelawak yang bukan calang-calang dalam arena komedi seperti Zero, Shiro, Bocey, Joras dan Mamu.

Seperti musim sebe-lumnya, MLM 2017 turut menampilkan peserta solo iaitu Danial dan Mad Sabah dari Lawak Solo dan Dzawin, seorang peserta solo dari Indonesia.

Selain itu, AG Hafiz yang sebelum ini turut menjayakan program Lawak Solo akan bergandingan dengan Raja Azri dalam kumpulan Pistol, manakala Wan Gegau, juga dari Lawak Solo membentuk trio bersama Wan dan Chot di bawah nama kumpulan XOXO.

Bocil yang sebelum ini daripada kumpulan Saywho kini bergabung bersama Amir dan Din Dingerous dari Lawak Solo untuk membentuk kumpulan Hobit.

Vicha yang juga sebelum ini daripada kumpulan Saywho kini berada dalam kumpulan Masin, bergabung bersama peserta dari Singapura iaitu Mamat Bora dan peserta dari Malaysia iaitu Jiggy.

Mengangkat tema Lanun sebagai imej MLM 2017, program yang bersiaran selama 120 minit (2 jam) untuk 12 minggu ini masih mengekalkan format sama seperti musim-musim terdahulu yang mana para peserta diperlukan untuk mempersembahkan tugasan mengikut pada tema mingguan yang ditetapkan.

Maharaja Lawak Mega 2017 menawarkan hadiah lumayan bagi juara pertandingan iaitu wang tunai sebanyak RM500,000 beserta trofi. Naib juara pula bakal merangkul wang tunai sebanyak RM250,000 beserta trofi dan RM150,000 beserta trofi menanti pemenang tempat ketiga. Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Dari segi pemarkahan pula, Maharaja Lawak Mega 2017 masih mengekalkan format pemarkahan asal seperti musim sebelum ini yang mana nasib para peserta akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan 70 peratus oleh juri tetap dan 30 peratus oleh undian penonton menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Talian undian secara SMS akan dibuka secara rasmi pada 17 Februari 2017, Jumaat pada jam 10.00 malam.

Manakala, segmen ‘Man of the Match’ dibawakan khas oleh Astro Gempak akan memberi peluang kepada penonton untuk memilih siapakah di kalangan peserta yang paling Gempak lawak selama seminggu di portal hiburan rasmi MLM.

Pengacara yang cukup sinonim dengan Maharaja Lawak Mega, Dato’ AC Mizal masih diberi kepercayaan untuk menghidupkan malam persembahan mingguan sebagai pengacara.

Sementara itu, slot istimewa program ramalan dan debat akan turut bersiaran secara langsung pada jam 9.30 malam selama 12 minggu.

Program yang berdurasi selama 30 minit ini akan bersiaran sebelum pentas Maharaja Lawak Mega bermula dan akan dikendalikan oleh pelakon dan pelawak Angah.

Penonton juga boleh menyaksikan siaran langsung MLM 2017 atau mendapatkan informasi terkini di portal hiburan rasmi, Astro Gempak (www.astrogempak.com.my) atau laman web www.maharajalawakmega.com.my. Selain itu, penonton boleh juga mengikuti Twitter (@maharajalawakmega) serta akaun Instagram @AstroGempak @ZonLawak @maharajalawakmega untuk dapatkan live update MLM 2017 satu jam sebelum rancangan.  

Advertisement