Anda di sini

Wabak H7N9 di China terburuk kali ini

Advertisement

BEIJING: Sehingga 79 orang mati akibat selesema burung H7N9 di China bulan lepas, menurut kerajaan dalam wabak musim ini yang mungkin terburuk dalam rekod.

Kematian pada Januari adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada bulan sama setahun lalu, menyaksikan jumlah kematian akibat H7N9 mencecah 100 orang sejak Oktober, menurut data Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Kesihatan Negara lewat kelmarin.

Pihak berkuasa berkali-kali memberi amaran kepada orang awam agar berjaga-jaga dengan virus tersebut dan memberi amaran agar tidak panik.

Tetapi data terbaharu mencetuskan kebimbangan berulangnya krisis kesihatan sebelum ini seperti wabak Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) pada 2002.

Waktu ini sudah pertengahan Februari dan kita baharu menerima statistik Januari.

Dengan kadar kematian hampir mencecah jumlah SARS, bukankah amaran sepatutnya dikeluarkan lebih awal?” soal seorang pengguna dalam Sina Weibo.

People’s Daily, akhbar rasmi parti pemerintah Komunis, memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berkunjung ke pasar unggas hidup berikutan amat jelas bahawa unggas dan najisnya adalah punca jangkitan.

China yang pertama kali melaporkan jangkitan terhadap manusia pada Mac 2013, melihat peningkatan mendadak kes H7N9 sejak Disember dengan jumlah rasmi adalah 306 sejak Oktober, dengan 192 kes dilaporkan bulan lepas.

Kebanyakan jangkitan yang dilaporkan musim ini adalah di selatan dan di sepanjang pesisiran pantai.

Di Hong Kong di mana dua daripada empat pesakit dijangkiti H7N9 baru-baru ini disahkan mati, kata pegawai kesihatan. — Reuters

Advertisement