Anda di sini

UOB Malaysia ramalkan aliran masuk FDI ke ASEAN akan mengatasi China

Advertisement

KUALA LUMPUR: United Overseas Bank (M) Bhd meramalkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN akan mengatasi China buat pertama kalinya dalam tahun ini selepas ketinggalan lebih satu dekad.

 Ahli Ekonominya Julia Goh dalam satu kenyataan semalam, berkata saham terkumpul FDI di ASEAN telah meningkat pada kadar tahunan yang mantap iaitu sebanyak 15 peratus sejak 1980.

 “Kami lihat aliran FDI ke dalam ASEAN akan terus mendapat momentum. Kami menjangkakan saham pelaburan ke dalam ASEAN akan naik tiga kali ganda kepada AS$ 5.2 trilion dalam 2030, daripada anggaran kami iaitu sebanyak AS$1.8 trilion pada 2015 (AS$1=RM4.44),” katanya.

 Kekurangan dalam pelaburan infrastruktur termasuk pembukaan sempadan ekonomi ASEAN yang baharu seperti Myanmar, memberikan peluang-peluang yang besar kepada para pelabur.

 “Masalah semasa telah menarik perhatian pelaburpelabur asing dan ASEAN telah mencatatkan peningkatan aliran FDI dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.

 Tambahan pula, pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN pada awal 2016, merupakan satu pencapaian dalam kerjasama ekonomi yang lebih erat di kalangan negara-negara ASEAN.

 “Sinergi daripada kelebihan bandingan yang berbeza mampu memberikan peluang yang sangat besar bagi sektor domestik serta pelaburpelabur asing,” kata Goh.

 Sementara itu, beliau menegaskan Malaysia perlu memudahkan eksport intraserantau melalui ASEAN dan rakan-rakan perdagangan kesatuan itu termasuk mengukuhkan lagi integrasi serantau dalam Asia.

 Katanya, ketidaktentuan politik yang memuncak, potensi pergeseran perdagangan dan ketidakstabilan pasaran kewangan yang berterusan boleh menimbulkan risiko kelembapan ekonomi.

 “Memandangkan pergantungan Malaysia yang tinggi ke atas rangkaian perdagangan dan kewangan yang kukuh, potensi polisi perlindungan Amerika Syarikat atau kesan sampingan politik yang mengancam kestabilan ekonomi Kesatuan Eropah akan mencabar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini,” kata Goh.

 Malaysia juga harus mempelbagaikan sektor-sektor eksport tradisionalnya ke arah segmen yang memiliki nilai tambah yang lebih tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. — Bernama

Advertisement