Anda di sini

‘Surga Yang Tak Dirindukan 2’ kini ditayangkan di Malaysia

Advertisement

Ku Kirim Padamu Sepotong Luka, Sebagai Penanda Kita Pernah Bersama’.

__alt__

ADUNAN jalan cerita yang ingin disampaikan dan watak yang dilakonkan dengan baik mampu menguatkan sesebuah karya sehingga menjadi sebuah filem yang bagus.

Terbaharu, sekuel untuk filem box office Indonesia tahun 2015, ‘Surga Yang Tak Dirindukan 2’ (#STYD2) akan menemui penonton di negara ini di mana ia bakal ditayangkan serentak di seluruh pawagam Malaysia mulai hari ini (16 Februari).

Kelmarin, satu sesi Tayangan Perdana filem ini telah pun diadakan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur. Antara pelakon filem yang hadir adalah pelakon Malaysia, Nora Danish yang menjadi pembantu peribadi kepada watak Arini di dalam filem berkenaan. 

Filem ‘Surga Yang Tak Dirindukan 2’ yang diangkat dari novel popular hasil karya novelis Asma Nadia ini bukan sahaja memaparkan jalan cerita penuh perasaan, namun turut didukung dengan watak-watak yang dibintangi oleh pelakon blockbuster Indonesia seperti Fedi Nuril, Laudya Cynthia Bella, Raline Shah, Reza Rahadian serta Nora Danish.

Di bawah produksi hebat dari Indonesia iaitu MD Pictures, filem ini telah mendapat sentuhan oleh pengarah Hanung Bramantyo. Manakala Manoj Punjabi bertanggungjawab selaku Produser dan skripnya ditulis oleh Alim Sudio, Manoj Punjabi dan Hanung Bramantyo sendiri.

Apa yang lebih menarik, filem ini adalah di bawah satu bumbung dengan produksi filem hit ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Rudy Habibie’, ‘Habibie & Ainun’ dan ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’.

Selain itu, filem ini turut disempurnakan dengan garapan muzik dan lirik puitis yang dihasilkan oleh komposer terkenal Melly Goeslaw dan Anto Hoed.

OST berjudul ‘Dalam Kenangan’ dinyanyikan oleh diva Indonesia, Krisdayanti sementara lagu kedua bertajuk ‘Surga Yang Kurindukan’ dinyanyikan oleh pelakon utamanya sendiri, Laudya Cynthia Bella dan berduet dengan penyanyi muda berbakat besar, Warda.

Filem SYTD2 yang bergenre drama ini mengisahkan tentang sepasang suami isteri Pras (Fedi) dan Arini (Bella) kembali meneruskan kehidupan bersama puteri mereka, Nadia (Sandrina) setelah isteri kedua Meirose (Raline) membawa diri.

Arini mendapat undangan ke Budapest, Hungaria untuk mempromosikan bukunya. Tanpa diduga, takdir menemukan mereka sekeluarga bersama Meirose dan anaknya Akhbar (Keefe). Pemergian Meirose bersama Akhbar dahulu adalah untuk mula hidup baru demi melupakan masa lampau yang hampir menghancurkan rumahtangga Arini.

Meskipun Meirose masih menyanjung dan menyintai Pras, tetapi dia tekad untuk diceraikan. Namun, pertemuan semula dengan Arini membuatkan dia berbelah bahagi kerana wanita mulia itu mengharapkan Meirose kembali ke pangkuan Pras.

Malah, kehadiran Doktor Syarief (Reza) dalam hidup Meirose turut menimbulkan tanda tanya. Apakah kesudahan kisah mereka? Sejuta pertanyaan dan kejutan akan mewarnai SYTD2.

Untuk pasaran di Malaysia, filem ini bakal diedarkan oleh Antenna Entertainments manakala Astro akan melakukan pemasaran.

Bagi menjiwai kisah SYTD2, filem pertama iaitu ‘Surga Yang Tak Dirindukan’ telah ditayangkan di saluran Astro Ria, Prima, Citra, Mustika, Maya dan Oasis serta di platform Astro Gempak sejak awal Februari lalu.

Menurut Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Bahagian Melayu Astro, Raja Jastina Raja Arshad, filem SYTD2 adalah sebuah filem yang mempunyai jalan cerita yang bagus dan sesuai untuk ditonton oleh masyarakat tempatan.

Melihat kepada sambutan hangat SYTD2 di Indonesia ketika ini serta respon positif penonton Malaysia sejurus menyaksikan filem pertamanya, kami yakin filem ini bakal membuat penonton berasa teruja untuk mengikuti kisah seterusnya. Dengan sokongan promosi yang meluas, kami berharap ia mampu mencipta fenomena yang sukses di sini,” katanya.

Layari laman sosial www.facebook.com/AstroShaw serta laman sosial rasmi Twitter, Instagram dan Youtube AstroShaw untuk berita dan informasi terkini.

Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #SYTD2 bagi menghebahkan lagi keterujaan filem ini.

Advertisement