Anda di sini

Saingan sengit untuk Gabenor Jakarta

Advertisement

Purnama yang berdepan dua calon Muslim terpaksa akur masuk pusingan kedua

 Kombinasi gambar di Jakarta semalam menunjukkan (dari kiri) Purnama bersama isterinya Veronica dan anak lelaki mereka Nicholas menunjukkan kertas undi sebelum membuang undi, manakala dalam gambar serahan Antara Foto (tengah) Baswedan diiringi isterinya Fery Farhati Ganis dan anak perempuan mereka Mutiara Annisa Baswedan menunjukkan jari yang sudah dicelup dakwat selesai mengundi, begitu juga Yudhoyono dan isterinya Annisa Pohan. — Gambar AFP/Reuters
SENGIT: Kombinasi gambar di Jakarta semalam menunjukkan (dari kiri) Purnama bersama isterinya Veronica dan anak lelaki mereka Nicholas menunjukkan kertas undi sebelum membuang undi, manakala dalam gambar serahan Antara Foto (tengah) Baswedan diiringi isterinya Fery Farhati Ganis dan anak perempuan mereka Mutiara Annisa Baswedan menunjukkan jari yang sudah dicelup dakwat selesai mengundi, begitu juga Yudhoyono dan isterinya Annisa Pohan. — Gambar AFP/Reuters

JAKARTA: Persaingan untuk menjadi gabenor ibu negara Indonesia ternyata amat sengit dalam kiraan awal semalam dan pusingan kedua akan menyaksikan pertembungan pemegang jawatan semasa yang beragama Kristian dan bekas menteri pendidikan yang beragama Islam, menurut kiraan sampel.

Pilihan raya gabenor Jakarta dibayangi ketegangan agama dengan protes beramai-ramai mengecam Gabenor Basuki Tjahaja Purnama, etnik Cina Kristian.

Pilihan raya tersebut juga dilihat ramai pihak sebagai persaingan proksi untuk pilihan raya presiden 2019.

Purnama meraih 42.57 peratus undi dalam kelebihan tipis berbanding bekas menteri Anies Baswedan yang berada di tempat kedua dengan 40.23 peratus, berdasarkan kiraan sampel pantas sekitar 40 peratus undi oleh firma pengundian swasta SMRC.

Calon lain, Agus Yudhoyono yang merupakan anak bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, berada di tempat ketiga dengan 17 peratus.

Peninjau pendapat lain turut menunjukkan keputusan yang serupa.

Seorang calon perlu meraih lebih 50 peratus undi dalam pusingan pertama untuk me-rangkul kemenangan penuh.

Jawatan gabenor boleh menjadi batu loncatan ke kerusi presiden dan kempen sejak berminggu-minggu lalu dibayangi perbalahan, intrig politik dan peningkatan sentimen pendirian keras yang mempersoal peranan agama dalam politik.

Kami berharap semua orang boleh kembali menjadi sebuah keluarga selepas pilihan raya ini,” kata Presiden Joko Widodo selepas membuang undi di Jakarta awal semalam.

Purnama timbalan Widodo ketika beliau menjadi gabenor Jakarta dan parti Widodo menyokong beliau.

Purnama telah meneruskan kempen ketika berdepan perbicaraan atas dakwaan menghina kitab suci al-Quran, dalam kes yang menyaksikan penduduk Muslim membanjiri jalanan dan menggesa pengundi menolak calon bukan Islam.

Beliau menafikan dakwaan itu dan selepas menjunam dalam tinjauan pendapat, sokongan kepadanya kembali memuncak, yang menurut penganalisis adalah hasil prestasi meningkatkan biro-krasi serta langkah-langkah mengurangkan kesesakan dan banjir kilat di Jakarta.

Indonesia mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia tetapi rasminya sekular dan turut mempunyai minoriti Hindu dan Kristian.

Baswedan disokong oleh bekas jeneral yang dikalahkan Widodo dalam pilihan raya presiden pada 2014, Prabowo Subianto, yang menjanjikan kemunculan semula di pentas kebangsaan.

Pilihan raya di ibu negara, selain puluhan pilihan raya wilayah lain dalam demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, berjalan aman tanpa sebarang insiden besar, menurut polis yang telah mengerah 75,000 anggota di seluruh Indonesia dengan 16,000 daripadanya di Jakarta ekoran kebimbangan kumpulan berpendirian keras mungkin kembali ke jalanan mengecam Purnama. — Reuters

Advertisement