SIBU: Seorang pengurus syarikat di sini terkedu apabila mendapati berlaku penyelewengan wang dalam transaksi akaun syarikat melibatkan kerugian berjumlah hampir RM1 juta.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah ketika dihubungi mengesah pihaknya telah menerima laporan berhubung kes tersebut.
Difahamkan, pengurus berkenaan telah melakukan semakan akaun syarikat dan mendapati banyak transaksi pengeluaran wang dibuat melalui 103 keping cek melibat kerugian berjumlah RM962,730.40.
Menurut laporan pengadu, transaksi itu dipercayai berlaku sejak 5 Januari 2016 sehingga 20 Januari tahun ini.
Saiful berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan polis pengadu Selasa lalu.
“Pihak kami masih menjalankan siasatan kes dan tiada tangkapan dibuat setakat ini,” tambahnya.