Anda di sini

Insurans am dijangka tumbuh lebih baik

Advertisement

Dipengaruhi jumlah jualan kereta menggalakkan yang dijangka berterusan pada 2017

KUALA LUMPUR: Industri insurans am dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih baik tahun ini berbanding pertumbuhan 2.5 hingga 3.5 peratus yang dijangkakan bagi 2016, didorong oleh keyakinan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia (MII) Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata pasaran menyaksikan jumlah jualan kereta yang lebih baik pada akhir tahun lepas, yang dijangkakan berterusan pada 2017.

Dengan mengambil kira 48 peratus daripada premium insurans am disumbangkan oleh segmen permotoran, kami yakin masih ada elemen keyakinan,” katanya kepada pemberita di luar acara Seminar Pembangunan Bakat di sini semalam.

Syed Moheeb berkata satu lagi petunjuk jelas mengenai peningkatan keyakinan pengguna ialah harga pasaran yang lebih tinggi untuk kereta terpakai, yang juga menunjukkan permintaan yang lebih tinggi.

Dalam tempoh mencabar, wujud kecenderungan untuk harga kereta terpakai menjadi lebih rendah. Namun, nilai pasaran kini semakin meningkat, yang menunjukkan orang sudah mula membeli.

Seminar sehari bertema ‘Persediaan untuk Tempat Kerja Masa Depan, Hari ini’, dianjurkan oleh MII bagi menangani isu serius kekurangan bakat dan kemahiran dalam industri perkhidmatan kewangan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Syed Moheeb berkata MII aktif dalam membantu industri untuk merapatkan jurang (kekurangan bakat dan kemahiran) dengan membangunkan program yang membantu memperakui idea baharu.

Sebagai badan profesional dan institut pendidikan industri, MII mahu menjadi rakan pembelajaran dan pendidikan kepada industri insurans, dalam menyediakan bakat untuk masa depan,” katanya.

Pada Ogos tahun lepas, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mengumumkan industri insurans am mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak tiga peratus bagi tempoh enam bulan pertama 2016 bernilai RM9.34 bilion berbanding RM9.07 bilion dalam tempoh yang sama pada 2015.

Ia berkata segmen insurans motor merupakan penyumbang terbesar, meningkat 0.7 peratus kepada RM4.12 bilion daripada RM4.09 bilion yang dicatatkan pada separuh pertama 2015.

Bagi tempoh setahun penuh 2016, PIAM menjangkakan insurans am tumbuh antara 2.5 dan 3.5 peratus. — Bernama

Advertisement