Anda di sini

India menghantar 104 satelit di orbit

Advertisement

Sebuah roket menjayakan misi dalam 30 minit sekali gus atasi rekod Rusia

SRIHARIKOTA: India telah berjaya meletakkan 104 satelit dari sebuah roket di orbit semalam dalam kejayaan terbaharu agensi angkasa lepasnya yang terkenal dengan bajet berhemah.

Saintis berkumpul bagi pelancaran di pelabuhan angkasa lepas selatan Sriharikota memberikan tepukan gemuruh ketika ketua Organisasi Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) mengumumkan semua satelit telah dikeluarkan.

Ucapan tahniah kepada pasukan ISRO atas kejayaan ini,” pengarah ISRO Kiran Kumar memberitahu para saintis yang telah berkumpul di pusat pemerhatian bagi menyaksikan perkembangan Polar Satellite Launch Vehicle (PSLV).

Perdana Menteri India Narendra Modi segera mengucapkan tahniah kepada para saintis terbabit atas kejayaan pelancaran yang memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Rusia.

Kejadian yang menakjubkan ini adalah satu lagi saat yang membanggakan bagi komuniti saintis angkasa kita dan negara.

India memberikan penghormatan kepada para saintis kita,” menurut Modi dalam Twitter.

Roket tersebut berlepas jam 9.28 pagi waktu tempatan pada kelajuan 27,000 kilometer sejam, mengeluarkan kesemua 104 satelit ke orbit dalam masa 30 minit, menurut ISRO.

Kargo utama roket adalah sebuah satelit seberat 714 kilogram bagi pengawasan bumi, selain 103 satelit nano dengan berat 664 kilogram.

Hampir semua satelit nano adalah dari negara lain, termasuk Kazakhstan, Belanda, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu manakala 96 dari Amerika Syarikat (AS).

Pelancaran bermakna India kini memegang rekod melancarkan paling banyak satelit dalam satu pelepasan, mengatasi Rusia yang melancarkan 39 satelit dalam satu misi pada Jun 2014.

Urus niaga meletakkan satelit komersial ke angkasa lepas semakin berkembang ketika telefon, Internet dan syarikat lain, termasuk beberapa negara, ingin mendapatkan komunikasi lebih hebat dan tercanggih.

India sedang bersaing dengan pemain antarabangsa lain bagi bahagian lebih besar dalam pasaran pelancaran dan dikenali dengan program angkasa lepasnya yang berkos rendah.

Pada Jun lepas, India telah mencatat rekod kebangsaan selepas melancarkan sebuah roket yang membawa 20 satelit, termasuk 13 dari AS.

Ia telah menghantar sebuah roket tanpa jurumudi ke ruang angkasa Marikh pada 2013 dengan kos hanya AS$73 juta, berbanding misi Maven Mars NASA yang menelan belanja AS$671 juta.

ISRO turut memikirkan misi ke Zuhrah dan Musytari.

Modi sering memuji teknologi angkasa lepas bajet India, malah menyatakan dengan lucu pada 2014 bahawa sebuah roket yang melancarkan empat satelit asing ke orbit memerlukan kos lebih rendah daripada kos pembuatan filem Hollywood ‘Gravity’. — AFP

Advertisement