Anda di sini

Bunga wang kertas semakin popular sebagai hadiah Hari Valentine

Advertisement
 Kathy dan pekerjanya kelihatan sibuk menyiapkan tempahan pada Hari Valentine.
SIBUK: Kathy dan pekerjanya kelihatan sibuk menyiapkan tempahan pada Hari Valentine.

HARI Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang disambut pada 14 Februari setiap tahun sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan bunga.

Sama ada bunga segar mahupun bunga tiruan, ia merupakan hadiah yang paling banyak diberikan oleh si jejaka kepada buah hati mereka.

Namun sejak akhir-akhir ini, muncul trend terbaharu di mana gubahan bunga daripada wang kertas turut menjadi pilihan pasangan yang meraikan Hari Memperingati Kekasih.

Bunga daripada wang kertas ini terus popular dan semakin mendapat tempat bagi menyatakan kasih sayang dan cinta kepada pasangan masing-masing.

Menurut pemilik kedai menjual bunga Molly Florist & Gift House, Kathy Sim, meskipun bunga segar terus menjadi pilihan, namun terdapat mereka yang memilih gubahan bunga daripada wang kertas sebagai hadiah Hari Memperingati Kekasih.

Trend ini telah menjadi satu pilihan sejak beberapa tahun lepas, namun di sini ia masih satu trend yang popular,” ujarnya ketika ditemui di kedainya di Pusat Komersil Taman Rejang, di Sibu baru-baru ini.  

Kathy yang telah mengusahakan perniagaan menjual bunga sejak 20 tahun lepas memberitahu, mereka yang memilih bunga wang kertas itu akan membuat tempahan seminggu sebelum sambutan Hari Memperingati Kekasih.

Kita biasanya akan mencadangkan kepada mereka untuk menggunakan wang kertas berwarna merah RM10 kerana bunga yang telah siap akan kelihatan lebih menarik.

Namun itu terpulang kepada pelanggan kerana ada yang mahu menggunakan wang kertas RM50 atau RM100,” jelasnya.

Molly Florist & Gift House dibuka dari jam 8 pagi hingga 8.30 malam (Isnin-Sabtu) dan dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari (Ahad).

Sempena sambutan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari, mereka beroperasi sehingga malam.

Kita juga menawarkan pelbagai jenis bunga segar yang berwarna-warni sebagai pilihan,” jelas beliau.

Selain warna merah, warna lain yang ditawarkan ialah merah jambu, kuning, ungu dan sebagainya.

Jika dibandingkan 18 tahun lepas, pelanggan kini mempunyai lebih banyak pilihan bunga. Mereka juga boleh menggabungkan bunga ini dengan anak patung, dengan coklat atau menggunakan wang kertas.

Ditanya mengenai harga, Kathy memberitahu ia bergantung kepada permintaan pelanggan serta reka bentuk dan gabungan bunga tersebut.

Di sini kami menjual dari RM15 hingga ke beratus ringgit bergantung kepada reka bentuk dan gubahan bunga berkenaan,” tambahnya lagi.

Namun difahamkan ada gubahan bunga ini mencecah ribuan ringgit, terutama gubahan bunga yang menggunakan wang kertas.

 Antara gubahan dan reka bentuk bunga yang dihasilkan oleh Molly Florist & Gift House.
SEMUA ADA: Antara gubahan dan reka bentuk bunga yang dihasilkan oleh Molly Florist & Gift House.
  • oleh
  • Advertisement