Anda di sini

Abang tiri Kim rayu nyawa, dakwa menteri

Advertisement

SEOUL: Abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, yang telah dibunuh di Malaysia, merayu agar beliau tidak dibunuh selepas satu cubaan yang gagal pada 2012, menurut anggota perundangan  yang dimaklumkan oleh ketua pengintip di Seoul semalam.

Kim Jong-Nam, 45, mati selepas dilaporkan diserang dua wanita yang dipercayai ejen Korea Utara di sebuah lapangan terbang di Kuala Lumpur Isnin lepas.

Malaysia telah menahan seorang wanita yang memegang dokumen perjalanan Vietnam yang dipercayai ada hubungan dengan kes tersebut pada pagi semalam di terminal kos rendah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang dikenal pasti dalam dokumen itu sebagai Doan Thi Huong, menurut kenyataan polis.

Suspek dikenal pasti berdasarkan rakaman CCTV di lapangan terbang dan bersendirian ketika ditahan,” tambah polis.

Rakaman CCTV di lapangan terbang menunjukkan salah seorang suspek yang merupakan wanita Asia, memakai baju putih dengan huruf ‘LOL’ di depannya.

Jong-Nam, anak lelaki sulung mendiang bekas pemimpin Kim Jong-Il, pernah dilihat sebagai pewaris namun terkeluar dari senarai pilihan selepas menimbulkan keaiban setelah gagal pada 2001 memasuki Jepun dengan menggunakan pasport palsu untuk melawat Disneyland.

Beliau kemudian menetap dalam buangan sementara, kebanyakannya di wilayah Macau di China, sementara Jong-Un  mengambil alih negara senjata nuklear yang terasing selepas kematian ayahnya pada Disember 2011.

Pihak Utara pada 2012 telah cuba untuk membunuh Jong-Nam, dikenali sebagai penyokong perubahan di Pyongyang, menurut anggota perundangan Seoul selepas taklimat tertutup oleh ketua Perkhidmatan Perisikan Negara Lee Byung-Ho.

Menurut (Lee), terdapat satu cubaan (pembunuhan) pada 2012, dan Jong-Nam pada April 2012 telah menghantar surat kepada Jong-Un menyatakan ‘Tolong selamatkan saya dan keluarga saya,’” Kim Byung-Kee, anggota jawatankuasa perisikan Parlimen, memberitahu wartawan.

Ia turut menyatakan ‘Kami tidak akan pergi ke mana-mana. Kami tahu bahawa satu-satunya cara untuk melepaskan diri adalah dengan membunuh diri’,” menurut beliau, sambil menambah Jong-Nam tidak mempunyai sokongan politik di negara itu dan tidak mengancam kedudukan Jong-Un. 

Keluarga Jong-Nam, bekas isteri dan isterinya sekarang serta tiga orang anak, sekarang menetap di Beijing dan Macau, menurut seorang lagi anggota jawatankuasa Lee Cheol-Woo.

Mereka kini di bawah perlindungan pihak berkuasa China,” menurut beliau, sambil menambah Jong-Nam memasuki Malaysia pada 6 Februari, seminggu sebelum kematiannya.

Pembunuhan Jong-Nam adalah kematian berprofil paling tinggi di bawah rejim Kim Jong-Un sejak hukuman mati terhadap bapa saudara pemimpin, Jang Song-Thaek, pada Disember 2013.

Jang, dikenali rapat dengan China dan penyokong perubahan ekonomi di Utara, telah didakwa atas pengkhianatan.

Jong-Nam, dipercayai ada hubungan dengan golongan elit Beijing, lantang bersuara mengkritik secara umum sistem politik Pyongyang.

Beliau mengakui secara peribadinya menentang pemindahan kuasa secara keturunan dalam keluarganya sendiri, semasa temu bual dengan Asahi TV di Jepun pada 2010.

Salah seorang anak lelakinya, Han-Sol, turut menyatakan bapa saudaranya Jong-Un sebagai diktator dalam temu bual dengan sebuah stesen TV Finland pada 2012 ketika sedang melanjutkan pengajian di Eropah. — AFP

Advertisement