Anda di sini

Pan Borneo Sabah: Kerajaan pertimbang usaha sama

Advertisement
APA KHABAR?: Fadillah (kanan) selepas menyampaikan ucapan pada majlis taklimat peluang pakej kerja dan pembiayaan di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah semalam. — Gambar Bernama
APA KHABAR?: Fadillah (kanan) selepas menyampaikan ucapan pada majlis taklimat peluang pakej kerja dan pembiayaan di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan sedang mempertimbang untuk membenarkan kaedah usaha sama antara kontraktor Bumiputera Sabah dengan syarikat luar sama ada dari Semenanjung atau Sarawak dalam pemberian tender dan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini berikutan terdapat kekurangan kontraktor Bumiputera Sabah Tier 1 yang berpengalaman luas untuk mengendalikan projek pembinaan lebuh raya.

Beliau berkata, sebanyak 35 syarikat atau kontraktor diperlukan bagi mengisi kesemua 35 pakej di bawah projek lebuh raya itu, namun, setakat ini hanya kira-kira 14 syarikat sahaja di Sabah yang dikenal pasti mempunyai kelayakan.

“Antara kaedah dikenal pasti dan sedang dalam penilaian ialah membenarkan usaha sama dengan syarikat luar (sama ada dari Semenanjung atau Sarawak) bagi membantu kemampuan sumber kewangan dan pengalaman kontraktor tempatan sekali gus memastikan projek lebuh raya ini berjalan seperti dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi taklimat peluang pakej kerja dan pembiayaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang turut dihadiri timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, di sini semalam.

Fadillah berkata kebanyakan kontraktor Bumiputera Sabah yang ada ketika ini tidak menepati syarat ditetapkan memandangkan untuk dilantik sebagai kontraktor utama mereka akan dinilai dari segi teknikal, pengalaman dan jentera selain mempunyai sumber kewangan sekurang-kurangnya RM100 juta.

“Menerusi kaedah usaha sama itu, hanya 30 peratus syarikat luar (Semenanjung atau Sarawak) dibenarkan bekerjasama dengan kontraktor Sabah. Kontraktor Sabah akan mengetuai projek tetapi perlu mencari rakan kongsi bagi melaksanakannya kerana mengikut syarat ditetapkan tidak ramai layak (mendapat tender),” katanya.

Fadillah juga berkata terdapat kemungkinan 35 pakej yang disediakan menerusi projek lebuh raya itu akan dikecilkan dan digabungkan supaya kontraktor Bumiputera Sabah yang dilantik mempunyai keupayaan melaksanakan pakej tersebut.

Katanya kementeriannya akan berusaha merealisasikan matlamat kerajaan untuk memastikan kontraktor dan pembekal bahan binaan di Sabah turut bersama-sama merasai nikmati pembangunan menerusi pembinaan projek lebuh raya itu.

Setakat ini, Fadillah berkata sebahagian daripada 35 pakej lebuh raya itu sedang dilaksanakan, antara lain membabitkan pembinaan jalan Papar-Donggongon; Tawau-Semporna; dan jajaran Pintasan Lahad Datu.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kementeriannya akan mengendalikan 36 projek di Sabah menerusi Bajet Pembangunan bagi Rancangan Boleh Pinda 2, Rancangan Malaysia Ke-11 (2017-2018) yang terdiri daripada 10 projek baharu dan 26 projek sambungan bernilai RM3.881 bilion.

Projek-projek tersebut terdiri daripada kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf jalan serta kerja-kerja pembaikan cerun, katanya. — Bernama

Advertisement