Anda di sini

Nahas bas terburuk di Taiwan saksikan 33 maut

Advertisement
 Kren mengangkat bangkai bas yang remuk di tempat kejadian berhampiran Taipei, semalam. — Gambar AFP
MALANG: Kren mengangkat bangkai bas yang remuk di tempat kejadian berhampiran Taipei, semalam. — Gambar AFP

TAIPEI: Ahli keluarga yang bersedih semalam berkumpul meratapi orang tersayang selepas sebuah bas membawa pelancong tempatan warga emas terbalik dan menyebabkan 33 orang maut dalam nahas jalan raya terburuk di Taiwan.

Kumpulan 44 orang itu dalam perjalanan pulang selepas lawatan melihat bunga ceri bermusim di sebuah ladang di wilayah tengah Taichung apabila bas mereka terbabas dari lebuh raya pada malam kelmarin di pinggir Taipei.

Rakaman televisyen menunjukkan bahagian atas bas tercabut manakala para penumpang bergelimpangan di tepi jalan.

Mangsa terbaharu maut pagi semalam akibat pelbagai kecederaan dan pendarahan dalaman, menurut Hospital Wanfang lantas mengesahkan angka kematian kini 33 orang.

Polis sedang menyiasat sama ada bas tersebut dipandu laju ketika kejadian, menurut laporan.

Rakaman kamera di atas papan pemuka kenderaan yang berada di belakang bas menunjukkan ia terbabas dari lebuh raya ke susur keluar lalu terbalik, menyebabkan bas remuk teruk.

Bas tersebut kemudian diangkut keluar dari tempat kejadian dengan kren.

Para penumpang sedang tidur ketika nahas tersebut.

“Bas senget ketika melalui selekoh, menyebabkan para penumpang tersedar lalu menjerit,” kata Hsiao Shiu-hua, 54, kepada akhbar China Times.

Ahli keluarga mangsa mengerumuni tempat kejadian semalam untuk melaksanakan upacara penyembahan si mati.

Mereka menabur wang kertas di cerun di mana bas terbabas dan berdoa.

Ahli keluarga turut berkumpul di rumah pengebumian di Taipei di mana beberapa mayat disimpan.

Seorang daripadanya mengatakan agensi yang menganjurkan lawatan itu harus bertanggungjawab di atas kemalangan itu.

Ente Li berada di rumah pengebumian itu bersama sepupunya, 37, yang kematian kakak dan ibu bapanya dalam kejadian itu.

“Mereka berempat tinggal bersama tetapi dia keberatan untuk pergi,” kata Li.

Presiden Tsai Ing-wen melawat rumah tersebut petang semalam dan bercakap seketika dengan ahli keluarga mangsa.

Sesetengah laporan mendakwa pemandu bas telah bekerja selama 14 jam tanpa henti.

Tetapi Ringo Lee dari Persatuan Ejen Pelancongan Taiwan mendakwa pemandu terbabit cukup rehat sebelum membawa kumpulan tersebut ke lokasi indah popular Wuling.

Pemandu juga mempunyai dua saman tertunggak, satu daripadanya kerana tidak memakai tali pinggang keselamatan, tetapi tiada rekod memandu ketika mabuk, menurut kementerian pengangkutan.

Lee menambah, bas berusia 19 tahun itu adalah kenderaan kelas tinggi dan kementerian menyatakan ia sepatutnya menjalani pemeriksaan keselamatan pada April.

Awal bulan ini, 21 pelancong China cedera selepas bas mereka merempuh jambatan kereta api di selatan Taiwan.

Sementara itu, hasil siasatan kes kebakaran bas yang membawa maut pada tahun lepas di pinggir Taipei mendapati pemandu bas sengaja membakar bas berkenaan dalam cubaan membunuh diri sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar penghadang jalan. — AFP

Advertisement