Anda di sini

DTTG bentuk platform kukuh, satukan idea profesional Dayak

Advertisement
 Willie (berdiri, lapan kiri) bersama sebahagian ahli DTTG Bintulu  yang hadir semasa pertemuan yang diadakan di Taman Negara Similajau.
HADIR: Willie (berdiri, lapan kiri) bersama sebahagian ahli DTTG Bintulu yang hadir semasa pertemuan yang diadakan di Taman Negara Similajau.

BERMULA sebagai sebuah kumpulan laman bual sosial dalam ‘WhatsApp’, Kumpulan Pemikir Dayak atau lebih dikenali Dayak Think-Tank Group (DTTG), yang lantang dalam mengupas isu-isu semasa dan menyuarakan pandangan, harapan serta idea, berkaitan dengan pembangunan masyarakat Dayak di negeri ini, kini mengorak langkah lebih jauh. 

DTTG kini, bukan mahu bersuara di alam maya sahaja, sebaliknya mahu bertapak kukuh sebagai sebuah platform yang menghimpunkan golongan profesional dan idea-idea serta pandangan bernas mereka, untuk disalurkan kepada pihak atasan dan yang berkaitan, agar diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

“Kita tidak mahu hanya dilihat sebagai satu ‘suara’ semata-mata, tetapi kita mahu apa yang disuarakan oleh kumpulan pemikir ini diberi perhatian dan seterusnya tindakan yang sewajarnya,” demikian menurut pengasasnya, Willie Henry Majang.

“Ini kerana apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan kepada masyarakat Dayak dan pembangunan kaum Dayak, yang jauh ketinggalan dari pelbagai aspek berbanding kaum lain di negara ini,” katanya sambil menambah sudah tiba masanya, golongan profesional Dayak tampil untuk membantu usaha-usaha yang dilaungkan kerajaan untuk pembangunan rakyat termasuk kaum Dayak.

“DTTG amnya, menjadi platform golongan profesional intelektual Dayak untuk membincangkan isu-isu semasa, mendalami segala bentuk kepincangan sosial, ekonomi dan politik masyarakat Dayak seterusnya menyampaikan usul menterjemahkan perbincangan mereka melalui media massa dan saluran lain kepada pihak berwajib,” tambahnya.

Ditubuhkan seawal Januari 2015 oleh Wellie DTTG kini turut mengorak langkah membentuk satu perubahan paradigma di kalangan ahli seterusnya kaum Dayak pada amnya.

Kini DTTG mengorak langkah baharu bagi mengembangkan tujuan asal penubuhan NGO terbabit dan membuka lembaran 2017 dengan menubuhkan cawangan pertama DTTG, iaitu di Bintulu pada 11 Februari lalu, yang diikuti dengan perlantikan beberapa orang jawatankuasa serta perwakilan bagi mentadbir urus cawangan tersebut.

Coretan sejarah ini diteruskan dengan penubuhan cawangan seterusnya iaitu Cawangan Kuching-Kota Samarahan, yang dijangka dilancarkan pada Mac depan dan akan diteruskan ke bahagian lain di seluruh Sarawak.

Menurut Willie, DTTG sebagai sebuah badan pemikir yang tidak mempunyai kepentingan dengan mana-mana pihak atau parti politik, berharap dapat menggunakan cawangannya itu untuk menyalurkan idea serta pandangan bernas, selain bersuara mewakili rakyat bagi masalah-masalah yang timbul kepada pihak kerajaan atau agensi berkaitan.

Katanya, DTTG tidak mempunyai masalah dalam memberi kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun parti-parti politik pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain dalam usaha membangunkan masyarakat Dayak.  

Malah di awal penubuhan, DTTG bekerjasama rapat dengan Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) yang diketuai oleh presidennya, Mejar (B) Kapten Mohd Imran Collin. Malah arwah Bill Kayong juga adalah di antara nama-nama gah yang berdiri teguh dan memberi sokongan kepada penubuhan DTTG.

Perkongsian minda di antara ahli memberikan satu anjakan baharu dalam ekspresi pendapat, kritikan dan ulasan yang diberikan berkaitan dengan pembangunan sosio-ekonomi, politik dan modal insan masyarakat Dayak.

Menyedari kepentingan pembangunan modal insan, DTTG dengan kerjasama PEDAS sering kali memberikan bantuan menghulurkan derma bagi meringankan beban pelajar-pelajar Dayak yang memerlukan, serta memberikan sokongan moral kepada mereka.

Selain itu, DTTG turut memberikan khidmat sosial yang konsisten dalam membantu masyarakat Dayak, yang merupakan antara visi dan misi berterusan kumpulan tersebut.

“Diharap pada masa akan datang DTTG akan terus berjalan seiringan dengan NGO yang lain bagi terus memperjuangkan nasib anak bangsa khususnya masyarakat Dayak agar tidak terpinggir dari arus permodenan semasa,” jelas Willie lagi.

Sementara itu, DTTG Cawangan Bintulu yang ditubuhkan pada 11 Februari lalu, menyaksikan perlantikan sebulat suara, Agat Sagai sebagai pengerusi, Singa Bandong selaku setiausaha dan Vangines Jupong sebagai bendahari.

Manakala ahli-ahli jawatankuasa kecil (AJK) diketuai oleh John Sini Benang, Nancy Achang (Sayap Wanita), Claudya Entira, Evelyn Ubong, Tuah Chunggat, Clement Usah serta Bernard Juni dan Frank Bliang (Sayap Pemuda).

 Willie (berdiri, tiga kiri) bersama Frank (berdiri, kiri)  yang mengetuai Sayap Pemuda DTTG Cawangan Bintulu.
BELIA: Willie (berdiri, tiga kiri) bersama Frank (berdiri, kiri) yang mengetuai Sayap Pemuda DTTG Cawangan Bintulu.
  • oleh
  • Advertisement