Anda di sini

CAPS Sabah minta kerajaan percepat lantik ‘repacker’

Advertisement

KOTA KINABALU: Per-tubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) meminta kerajaan agar mempercepatkan pelantikan kilang pembungkusan semula (repacker) minyak masak di Kota Kinabalu.

Presiden CAPS James Bagah berkata, ia adalah bagi menangani masalah kekurangan bekalan minyak masak di kawasan berkenaan.

“Dengan mempercepatkan pelantikan repacker di kawasan pantai barat ini, dapat menangani masalah kekurangan bekalan minyak masak.

“Selain itu, kami juga mencadangkan agar memperbanyakkan repacker di sini kerana kawasan Kota Kinabalu terutamanya mempunyai kepadatan penduduk,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, kelmarin.

James mencadangkan agar kerajaan melantik dan memperbanyakkan repacker di kawasan yang mempunyai kedapatan penduduk tinggi seperti Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.

“Ini kerana, jika berlaku kekurangan bekalan minyak masak, ia tidak menyusahkan mereka untuk pergi ke Kota Kinabalu bagi mendapatkan minyak masak,” katanya.

Tambahnya, CAPS juga meminta agar kerajaan memantau pengeluaran minyak masak berkenaan.

“Saya menerima aduan dari Sandakan yang mana terdapat pengusaha tidak bertimbang rasa meminta pelanggan membuat pembelian secara banyak dan mengakibatkan isi rumah lain tidak dapat bekalan minyak ini.

“Selain itu, terdapat juga individu membeli bekalan minyak masak ini secara banyak untuk dipeketkan semula dan diagihkan kepada orang ramai untuk kepentingan sendiri,” jelasnya.

Berikutan aduan pengusaha kedai makan di Penampang berkenaan penutupan premisnya kerana ketiadaan bekalan minyak masak baru-baru ini, James berharap agar peniaga menetapkan kuota pembelian daripada lima kepada dua peket sahaja.

“Daripada pengalaman, memang terdapat isi rumah yang akan membawa ahli keluarganya untuk membuat pembelian minyak beramai-ramai bagi mendapatkan bekalan yang lebih banyak,” jelasnya.

Advertisement