Anda di sini

Anwar dibenar bersentuhan dengan keluarga di penjara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenar bersentuhan secara fizikal dengan anggota keluarga ketika mereka melawatnya sebanyak tujuh kali di Penjara Sungai Buloh, tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dalam hujahannya berkata, berdasarkan statistik daripada Penjara Sungai Buloh antara Januari hingga Disember 2016, pihak penjara telah membenarkan tujuh permohonan Anwar dan anggota keluarganya untuk bertemu dan bersentuhan.

“Itu tidak termasuk pertemuan secara bersemuka di mahkamah dan hospital,” hujahnya ketika pendengaran semakan kehakiman difailkan Anwar dan keluarganya bagi mencabar keputusan Penjara Sungai Buloh yang tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan anggota keluarga ketika lawatan di penjara itu.

Shamsul yang mewakili Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden, berkata pihak penjara juga tidak pernah menghalang Anwar untuk bertemu dan melakukan sentuhan fizikal dengan anggota keluarganya ketika lawatan ke penjara.

Peguam N. Surendran yang mewakili Anwar dan keluarganya, berhujah Anwar tidak mengharapkan sebarang layanan istimewa daripada pihak penjara, sebaliknya diberi hak mengikut perlembagaan untuk bersentuhan dengak anggota keluarganya di penjara.

Beliau berkata dalam beberapa pertemuan di penjara, Anwar dan keluarganya dibenarkan bersentuhan tidak melebihi lima minit dan bukan pada setiap lawatan mereka dibenarkan berbuat demikian (bersentuhan).

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad yang mendengar hujahan itu menetapkan 7 Mac untuk keputusan permohonan Anwar itu. Mahkamah itu sebelum ini memberi kebenaran kepada Anwar dan keluarganya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mendapati terdapat isu yang perlu dibicarakan.

Selain Anwar, 69, turut bertindak selaku pemohon ialah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 64, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 36, Nurul Nuha, 33, Nurul Ilham, 29, dan Nurul Iman, 26.

Turut memfailkan permohonan itu ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur 10 dan lapan tahun, serta anak Nurul Nuha iaitu Sulaimaan Mohamad Khairul, dan Yahya, masing-masing berumur lima dan empat tahun.

Mereka memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac 2016 yang tidak membenarkan sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua anggota keluarga dibatalkan. — Bernama

Advertisement