Anda di sini

Saman fitnah Adnan terhadap Utusan akan dibicarakan

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan saman fitnah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd akan dibicarakan.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengekalkan saman itu dan memerintahkan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjalani perbicaraan penuh.

Saman itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lepas apabila memutuskan pegawai awam tidak boleh menyaman media bagi memfitnah atas kapasiti rasmi.

Zulkefli berkata keterangan masih belum dibuktikan di Mahkamah Tinggi sama ada saman itu dikemukakan oleh Adnan atas kapasiti peribadi atau rasmi.

Kami mahukan keadilan bagi kedua-dua pihak. Anda perlu hadiri perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Bersidang bersama-sama beliau ialah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Aziah Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Zulkefli membenarkan rayuan Adnan untuk memansuhkan keputusan mahkamah rayuan pada 1 Mac tahun lepas, yang membatalkan saman sivilnya terhadap penerbit akhbar berbahasa Melayu itu dan menetapkan 22 Feb bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, panel mahkamah itu tidak membuat keputusan berhubung sama ada prinsip undang-undang Inggeris dalam kes Derbyshire County Council lwn The Times Newspapers Ltd & Others (1993), boleh diguna pakai dalam kes itu.

Undang-undang diguna pakai dalam kes itu menyatakan pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil tindakan saman bagi memfitnah atas kapasiti rasmi.

Kami tidak katakan bahawa prinsip Majlis Derbyshire County tidak terpakai dalam kes ini,” kata Zulkefli dan menurutnya isu itu juga akan diputuskan dalam kes lain.

Adnan menyaman Utusan Melayu berhubung penerbitan artikel dalam Mingguan Malaysia bertajuk ‘Hebat Sangatkah Adnan’ pada 9 Nov, 2014.

Dalam saman difailkan pada 2014, Adnan berkata Utusan telah mencemarkan maruahnya sebagai seorang pemimpin negara dan ahli politik menerusi artikel itu.

Mahkamah rayuan telah membenarkan rayuan Utusan Melayu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan penerbit untuk membatalkan saman itu.

Dalam prosiding rayuan semalam, Zulkefli berkata perlu ditentukan sama ada adakah betul pada peringkat ini untuk mahkamah membuat keputusan berhubung perkara berkenaan berikutan kes itu telah dibatalkan dan keterangan masih belum dibuktikan oleh mahkamah.

Peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili Utusan Melayu berhujah bahawa Adnan tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk menyaman anak guamnnya, berdasarkan pada rayuan Adnan, jelas menunjukkan beliau mengambil tindakan itu atas kapasitinya sebagai menteri besar.

Peguam mewakili Adnan, Americk Sidhu dalam hujahnya berkata masih terlalu awal untuk mendengar rayuan itu berikutan tiada keterangan telah dibuktikan. — Bernama

Advertisement