Anda di sini

PTPTN umum dividen 4% untuk SSPN-i, SSPN-i Plus

Advertisement

Anggaran RM76.74 juta akan mula dibayar bulan ini

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan kadar dividen empat peratus bagi skim simpanan pendidikan SSPN-i dan SSPN-i Plus untuk 2016.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pemberian dividen ini melibatkan anggaran peruntukan RM76.74 juta yang akan mula dibayar bulan ini.

Dividen ini akan memberi manfaat kepada lebih 2.7 juta pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus,” katanya kepada pemberita semasa mengumumkan pengagihan dividen pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional 2016, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff.

Shamsul Anuar berkata kadar dividen empat peratus bagi SSPN-i dan SSPN-i Plus tahun 2016 adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang dibuat atas deposit yang diterima oleh PTPTN.

Tahun 2016 merupakan tahun yang mencabar kepada semua pihak, namun PTPTN masih dapat mengekalkan kadar dividen SSPN-i dan SSPN-i Plus yang diberikan seperti tahun sebelumnya,” katanya.

Shamsul Anuar juga berkata prestasi penabungan SSPN-i/SSPN-i Plus meningkat 9.2 peratus kepada RM544.49 juta pada 2016 berbanding RM498.61 juta pada tahun sebelumnya.

Ini menunjukkan bahawa terdapat kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2004 sehingga Dis 31, 2016, 2.7 juta akaun SSPN-i dibuka dengan jumlah deposit lebih RM2.6 bilion.

Bagi SSPN-i Plus yang dilancarkan pada 8 Jun 2015, 52,615 akaun dibuka dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM15.8 juta, dengan jumlah manfaat perlindungan takaful sehingga 2.3 bilion direkodkan sehingga 31 Dis, 2016.

Untuk 2017, PTPTN menyasarkan kutipan deposit sebanyak RM550 juta menerusi penambahan pembukaan akaun baharu sebanyak 350,000 melalui kempen di seluruh negara, kata Shamsul Anuar.

Kita sedang giat menjelajah seluruh negara untuk meningkatkan jumlah deposit. Kita berharap rakyat memilih SSPN-i dan SSPN-i Plus, dan menyimpan secara konsisten dan agresif,” katanya. — Bernama

Advertisement