Anda di sini

Polis dipenjara, didenda kerana rasuah

Advertisement
 Dua anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah cuba memperoleh suapan RM6,000 daripada seorang lelaki, lima tahun lepas di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam. — Gambar Bernama
TERIMA PADAH: Dua anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah cuba memperoleh suapan RM6,000 daripada seorang lelaki, lima tahun lepas di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Dua anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah cuba memperoleh suapan RM6,000 daripada seorang lelaki, lima tahun lepas.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Lans Koperal Joe Stephen, 31, dan Konstabel Mohd Farid Che Aziz, 33, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Asmadi turut memerintahkan kedua-dua anggota polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dipenjara enam bulan lagi sekiranya mereka gagal membayar denda.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mereka didakwa bersama-sama cuba memperoleh suapan wang tunai RM6,000 daripada Lee Yong Hock sebagai dorongan untuk melepaskan Lee daripada diambil tindakan bagi kesalahan dikehendaki polis dan memiliki kereta seludup.

Kedua-dua tertuduh yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2014, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Balai Polis Pandamaran, Klang dekat sini, kira-kira jam 4.30 pagi pada 3 April 2012.

Joe dan Mohd Farid didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Asmadi bagaimanapun membenarkan permohonan kedua-dua anggota polis itu yang diwakili peguam V. Rajehgopal untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan mereka membayar denda semalam.

Beliau turut menaikkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM20,000 setiap seorang dan memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam pada Isnin minggu pertama setiap bulan sehingga proses rayuan selesai.

Terdahulu, dalam rayuan untuk peringanan hukuman, Rajehgopal berkata Joe telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia sejak 1 Mei 2005 manakala Mohd Farid yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak masih bersekolah mula berkhidmat sejak 1 Dis 2005.

Beliau berkata kedua-dua anak guamnya yang digantung tugas sejak 2012 tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan telah insaf serta menyesal atas perbuatan mereka. — Bernama

Advertisement