Anda di sini

Polis cari pemilik bot karam di Batu Payung

Advertisement

Hasil risikan, warga Indonesia tersebut kini dipercayai berada di kawasan Sungai Nyamuk

TAWAU: Polis sedang mengesan pemilik bot yang karam di perairan Batu Payung ketika menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata hasil risikan mendapati pemilik bot, Ansar Sakka merupakan warga Indonesia dipercayai kini berada di kawasan Sungai Nyamuk.

Pihak Interpol Bukit Aman telah dimaklumkan untuk membantu mengesan Ansar,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Menurut Fadil, maklumat mengenai pemilik bot terbongkar susulan penahanan juragan dan pembantu juragan yang kedua-duanya terselamat dalam tragedi bot karam itu.

Mangsa-mangsa yang selamat membuat pengecaman dan didapati Ardiansyah Abbas, 23, dan Mansur Umar, 25, masing-masing merupakan juragan dan pembantu juragan bot itu dan hasil penahanan mereka membawa kepada penemuan maklumat pemilik bot karam terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata semakan pihaknya melalui Lembaga Pelabuhan dan

Dermaga serta Jabatan Perikanan mendapati bot karam tersebut tidak pernah didaftarkan di Malaysia.

Bot karam jenis fiber yang berwarna biru tua dan putih itu telah diubah suai daripada 17 kaki kepada 21 kaki panjang, dengan lebar 6 kaki serta menggunakan enjin Yamaha 200hp,” katanya.

Sementara itu, katanya kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia menerusi Konsulat Republik Indonesia di Tawau diteruskan bagi mengesan mangsa terakhir, Joko Rahman, 35, sekali gus membantu mengesan Ansar.

Mangsa terakhir belum ditemui dan tidak dapat dipastikan selamat atau tidak namun pada Jumaat lalu, sebuah beg mengandungi pasport mangsa dijumpai di perairan Batu Payung di sini,” katanya.

Setakat ini, 14 daripada 15 mangsa ditemui, dan daripada jumlah itu empat selamat dan bakinya meninggal dunia.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditamatkan jam 6 petang kelmarin.

Menurut Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, keputusan itu dibuat ekoran soal siasat ke atas juragan (Juma) yang ditahan polis, menyatakan Joko berjaya menyelamatkan diri ke Sungai Nyamuk.

Namun, operasi SAR itu akan diaktifkan semula jika kedudukan Joko gagal disahkan dan masih dilaporkan hilang oleh pihak berkuasa kedua-dua negara. — Bernama

Advertisement