Anda di sini

Pendekatan inovatif dan kreatif perlu untuk tingkatkan kualiti kesihatan umum

Advertisement

TUARAN: Pendekatan inovatif dan kreatif perlu untuk meningkatkan kualiti kesihatan umum memandangkan faktor itu mampu menjejaskan pembangunan sosioekonomi negara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, rakyat terutamanya di luar bandar perlu diberi rangsangan dan motivasi bagi meningkatkan tahap kualiti kesihatan, sama ada secara individu atau keluarga.

Pendekatan turun padang oleh pakar perubatan dalam program berbentuk karnival atau kem kesihatan amat dialu-alukan kerana memberi peluang kepada rakyat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia yang disediakan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Kem Kesihatan dan Perubatan Mata 2017 di Dewan Sri Sulaman, kelmarin.

Katanya, kaedah memperkasa dan melibatkan masyarakat supaya membudayakan gaya hidup sihat dan mencegah penyakit perlu diberi penekanan oleh semua pakar perubatan, di samping mobilisasi sektor lain supaya persekitaran gaya hidup sihat menjadi agenda utama di semua peringkat.

Hajiji berharap program itu akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat dalam meningkatkan taraf kesihatan terutamanya daripada aspek penjagaan mata.

Terdahulu, Pengarah Hospital Tuaran Dr G Mohan Gopal Naido berkata Hospital Tuaran bakal dilengkapi alat-alat pemeriksaan mata dan Pegawai Optometri pada April tahun ini agar masyarakat di daerah ini tidak perlu mendapatkan rawatan sama di Kota Kinabalu.

Sebelum ini, seramai 60 pelajar sekolah tercicir daripada manjalani rawatan mata di Hospital Queen Elizabeth kerana jarak antara Tuaran dan Kota Kinabalu yang agak jauh.

Dengan adanya pegawai optometri nanti, diharap masyarakat Tuaran dapat menjalani rawatan awal serta susulan di Hospital Tuaran sahaja,” katanya.

Jelas beliau Kem Kesihatan dan Perubatan Mata 2017 yang mendapat kerjasama Hospital Queen Elizabeth dan badan bukan kerajaan itu memberi peluang untuk mengenali lebih dekat masalah serta tahap kesihatan masyarakat di sekitar daerah berkenaan.

Katanya, antara pengisian program adalah pemeriksaan mata, pemeriksaan kesihatan umum, pemeriksaan gigi, ceramah kesihatan, kempen derma organ dan pameran kesihatan.

Advertisement