Anda di sini

Malaysia mahu manfaatkan Wawasan 2030 Arab Saudi

Advertisement

Industri teknologi maklumat merupakan sektor teras

KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat meningkatkan eksportnya ke Arab Saudi, khususnya menerusi industri perkhidmatan selain memanfaatkan gagasan Wawasan 2030 negara berkenaan.

 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata industri teknologi maklumat (IT) merupakan sektor teras berikutan lebih banyak program pelaksanaan perkhidmatan kerajaan akan membabitkan aspek pendigitalan.

 “Kita (Malaysia) mempunyai syarikat teknologi tempatan yang baik dan boleh memanfaatkan program transformasi Arab Saudi.

 “Selain itu kita juga berharap sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan, kejuruteraan, seni bina dan perkhidmatan perundingan dapat menyumbang kepada eksport negara,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi dialog di mesyuarat pertama Majlis Perniagaan Malaysia- Arab Saudi (MSBC) di sini, semalam.

 Mengulas lanjut, Mustapa berkata satu jawatankuasa sementara membabitkan kerajaan dan sektor swasta yang berkaitan, telah ditubuhkan oleh anggota MSBC sebelum ini bagi merancakkan lagi aktiviti perdagangan serta perniagaan yang berpotensi untuk kedua-dua negara.

 Mustapa turut mempelawa perniagaan sedia ada di Arab Saudi dan entiti lain yang berminat, untuk menghadiri satu seminar perniagaan di bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini pada 27 Februari ini.

 Ia bertujuan menjadi platform bagi bertukar-tukar pandangan mengenai cara untuk berniaga di Arab Saudi.

 Perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi bernilai RM13.9 bilion (AS$3.17 bilion) pada 2016 khususnya membabitkan import minyak mentah berbanding RM10.95 bilion (AS$2.82 bilion) pada 2015.

 “Walaupun jumlah dagangan terjejas akibat harga produk minyak serta komoditi kita pada 2015, data dua hala terkini bagi Januari- Disember 2016 menunjukkan pemulihan dengan mencatat 24.8 peratus,” katanya.

 Arab Saudi adalah rakan dagang ketiga terpenting untuk Malaysia mewakili negaranegara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu selepas Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 Sementara itu, Pengerusi MSBC Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus berkata mesyuarat pertama itu diadakan sebagai persiapan kunjungan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang dijadual pada akhir bulan ini.

 “Sejajar kedudukan kukuh kita sebagai hab halal, wujud banyak peluang untuk mengembangkan perdagangan dalam produk serta perkhidmatan halal.

 “Kita berharap untuk bekerjasama erat dengan agensi kerajaan berkaitan bagi kejayaan lawatan (Raja Salman) itu,” katanya. — Bernama

Advertisement