Anda di sini

Kim bangga jayakan ujian misil

Advertisement

Pengesahan Utara desak mesyuarat segera Majlis Keselamatan PBB

SEOUL: Korea Utara semalam menyatakan ia telah berjaya menguji misil balistik baharunya, sekali gus mencetuskan seruan Amerika Syarikat (AS) untuk mesyuarat segera Majlis Keselamatan PBB.

Pemimpin Kim Jong-Un amat berpuas hati setelah memiliki satu lagi cara serangan nuklear yang amat berkuasa yang meningkatkan lagi kekuatan negara, menurut agensi berita rasmi KCNA.

Misil tersebut dilancarkan kelmarin dekat bandar barat Kusong dan terbang kira-kira 500 kilometer ke timur sebelum jatuh ke dalam Laut Jepun (Laut Timur), menurut kementerian pertahanan Korea Selatan.

Gambar serahan KCNA menunjukkan misil itu dilancarkan ke langit dengan Kim tersenyum di pusat perintah dan berdiri di padang pelancaran dikelilingi puluhan anggota tentera dan saintis yang bersorak.

Ia menyatakan Kim sendiri memimpin persiapan untuk ujian kelmarin yang digambarkan sebagai Pukguksong-2 jarak jauh darat ke darat, sejenis sistem baharu senjata jenis strategik ala Korea.

KCNA berkata, misil itu dijana enjin bahan api pejal, yang memerlukan tempoh pengisian semula bahan api yang lebih singkat berbanding misil konvensional janaan bahan api cecair, menurut Yun Duk-Min dari institut kendalian kerajaan Institut Keselamatan dan Hal Ehwal Asing di Seoul.

Ia tidak memberi masa amaran yang banyak sekali gus lebih mengancam musuh,” katanya sambil menambah, misil sedemikian sukar dikesan sebelum pelancarannya oleh pemantauan satelit.

Pengumuman terbaharu Pyongyang adalah yang pertama kali menyebut tentang Pukguksong-2, walaupun Ogos lepas ia menguji misil balistik pelancaran kapal selam (SLBM) yang dinamakan Pukguksong-1 (Bintang Utara).

Kim berkata ketika itu bahawa misil tersebut yang dilancarkan ke arah Jepun, turut meletakkan tanah besar AS dan Pasifik dalam jarak letupannya.

Pegawai tentera Korea Selatan memberitahu wartawan bahawa Pukguksong-2 telah dilancarkan menggunakan teknologi sama ‘pelancaran sejuk’ yang digunakan semasa ujian SLBM tahun lepas.

Cara itu, yang dianggap lebih selamat dan mudah untuk menyembunyikan lokasi pelancaran asalnya, menyaksikan misil mulanya dilancarkan gas tepu sebelum enjinnya hidup dalam perjalanan.

Korea Utara mendakwa telah membangunkan misil balistik antara benua (ICBM) yang mampu sampai ke tanah besar AS, tetapi misil jarak paling panjang pernah diujinya adalah misil jarak pertengahan Musudan yang secara teorinya mampu sampai di pangkalan AS di Guam.

Kebanyakan misil tersebut bagaimanapun gagal termasuk yang terkini Oktober lalu apabila meletup sejurus pelancaran.

AS, Jepun dan Korea memberi respons kepada pengesahan Utara itu dengan menyeru mesyuarat segera Majlis Keselamatan PBB untuk membincangkan pelancaran tersebut.

Majlis dijangka mengadakan rundingan semalam. — AFP

Advertisement