Anda di sini

Kerajaan kaji pemberian pampasan kepada keluarga mangsa bot karam di Mengalum

Advertisement
 Masidi (tengah) bersama tetamu yang lain menyempurnakan acara memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke-10 Borneo Holiday.
ULANG TAHUN: Masidi (tengah) bersama tetamu yang lain menyempurnakan acara memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke-10 Borneo Holiday.

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengkaji secara terperinci berkenaan pemberian pampasan kepada mangsa bot karam yang melibatkan pelancong China di perairan Mengalum pada 28 Januari lepas.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pelbagai aspek perlu diteliti terlebih dahulu termasuklah melihat kaedah negara luar mengatasi situasi sedemikian.

Jika pampasan perlu diberikan, sudah tentu syarikat pelancongan terlibat dalam insiden ini yang perlu menyelesaikannya.

Namun, kerajaan juga akan terlibat sama dan pada masa sama, kita akan meneliti semua aspek untuk membantu mangsa yang terlibat termasuklah cadangan memberi pampasan yang diperkatakan oleh Konsul Jeneral China Chen Peijie, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan pejabat baharu dan sambutan ulang tahun ke-10 Borneo Holiday Sdn Bhd, di sini, kelmarin.

Berkaitan isu kapal karam di Teluk Usukan yang dikatakan akan dimusnahkan, Masidi berkata pihaknya juga masih menunggu penjelasan daripada wakil penyelidikan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 16 Februari ini berhubung kes berkenaan.

Katanya, bukan setakat beliau yang ingin mendapatkan kepastian berkaitan isu berkenaan, malah ramai orang awam termasuk rakyat negara lain turut sama ingin mengetahui hal sebenar.

Saya betul-betul mahu tahu bagaimana penyelidikan UMS ini mendapat kelulusan untuk memusnahkan kapal karam yang begitu penting bagi industri pelancongan di Sabah.

Hal ini amat mencurigakan dan kita amat memerlukan penjelasan yang sebenarnya mengenai isu sebegini,” katanya.

Mengenai majlis itu, Masidi berharap agar agensi pelancongan itu mampu maju seterusnya menaikkan nama Sabah sebagai destinasi pelancongan yang menjadi pilihan orang ramai.

Beliau juga yakin bahawa agensi berkenaan mampu menjadi syarikat pelacongan di Sabah yang menjadi tarikan utama pelancong sekiranya sentiasa memiliki sikap positif dan sabar tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Borneo Holiday Sdn Bhd Faye Robert.

Advertisement