Anda di sini

D.B.E. rancang tambah banyak kios, trak jualan makanan, restoran

Advertisement

KOTA KINABALU: D.B.E. Gurney Resources Bhd merancang untuk menambah lebih banyak kios, trak jualan makanan dan restoran di bawah jenama ayam goreng tempatan yang diperakui halal, HARUMi, di Sabah menerusi pakatan strategik dengan Koperasi Penggiat Seni Sabah Bhd (COSENI).

 Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Alex Ding Seng Huat berkata, di bawah pakatan itu, ia merancang menambah 19 kios, dua restoran dan dua trak jualan makanan di Sabah pada suku kedua 2017.

 “Ini merupakan antara strategi kami untuk mengukuhkan kedudukan syarikat di seluruh negara. Promosi HARUMi akan lebih pantas melalui pengwujudan pakatan strategik dengan COSENI, serta menawarkan peluang perniagaan kepada usahaawan di Sabah,” katanya kepada pemberita di sini.

 Beliau berkata demikian selepas penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara unit D.B.E., D.B.E. Poultry Sdn Bhd, dan COSENI di sini, kelmarin.

 D.B.E., syarikat penternakan ayam bersepadu di negara ini, dan rakan kongsi syarikat makanan segera Taiwan, telah mewujudkan lebih 200 kios, tiga trak jualan makanan dan tiga restoran setakat ini.

 Ia menyasar untuk menambah sehingga 3,000 kios, 300 trak jualan makanan dan 30 restoran di seluruh negara menjelang 2018.

 Ding berkata, pada peringkat awal, COSENI akan melabur RM1 juta dalam tempoh 12 bulan untuk membiayai kemudahan dan bantuan kewangan kepada anggotanya bagi membeli Pakej Perniagaan HARUMi.

 Mengikut MoU tersebut, COSENI akan memilih beberapa anggotanya untuk menyertai Program Perniagaan HARUMi manakala D.B.E. berperanan melatih mereka dalam aspek pengurusan dan pengendalian perniagaan jenama itu.

 Beliau menjangkakan prestasi kewangan lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017, dengan 30 peratus sumbangan daripada HARUMi dan bakinya daripada kontrak yang diperoleh sebelum ini.

 “Kami yakin permintaan bagi ayam goreng sentiasa akan meningkat, oleh itu, kami yakin perniagaan HARUMi kami akan terus berkembang,” katanya.

 Mengenai prospek masa depan, beliau berkata, D.B.E. berhasrat memperluaskan model perniagaan dan kejayaan HARUMi ke negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Myanmar.

 Beliau berkata, D.B.E. turut merancang untuk menubuhkan anak syarikat di Taiwan pada suku kedua tahun ini, sekali gus akan membolehkan syarikat memperluaskan tawaran produk HARUMi ke pasaran baharu seperti China dan Vietnam.

 “Wujud peluang perniagaan untuk dimanfaatkan di negara berkenaan dan kami akan mengambil langkah ke hadapan dengan menjadikan HARUMi sebagai jenama ayam goreng yang diminati ramai,” katanya.

 COSENI, ditubuhkan pada 2015, merupakan platform bagi pelaksanaan aktiviti perniagaan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Sabah.

 Ia, terlibat terutamanya dalam perniagaan pengurusan acara, promosi program dan katering. — Bernama

Advertisement