Anda di sini

Pelancaran misil Utara menguji Trump

Advertisement
 Seorang lelaki meneropong kampung propaganda Kaepoong dari pelantar tinjau dekat zon tanpa tentera yang memisahkan kedua-dua negara Korea di Paju, semalam. — Gambar Reuters
PROVOKASI: Seorang lelaki meneropong kampung propaganda Kaepoong dari pelantar tinjau dekat zon tanpa tentera yang memisahkan kedua-dua negara Korea di Paju, semalam. — Gambar Reuters

Tindakan terbaharu Pyongyang mendapat kecaman serta-merta para sekutu AS

SEOUL: Korea Utara semalam sekali lagi melancarkan ujian misil balistik dalam langkah yang dikecam Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang mendapat sokongan Presiden baharu Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

 Abe membidas pelancaran itu sebagai tidak dapat diterima sama sekali, manakala Korea Selatan menuduh Pyongyang sengaja menguji reaksi Trump.

 Misil itu dilancarkan sekitar jam 7.55 pagi waktu tempatan dari pangkalan udara Banghyon di wilayah barat Pyongan Utara, dan terbang ke timur ke arah Laut Jepun (Laut Timur), menurut kementerian pertahanan Selatan.

 Ia terbang sejauh 500 kilometer sebelum jatuh ke dalam laut, menurut jurucakap kementerian.

 Jenis sebenar misil yang digunakan bagaimanapun belum dikenal pasti, tambah beliau.

 “Turut dipercayai ia merupakan provokasi bersenjata untuk menguji respons daripada pentadbiran baharu AS di bawah Presiden Trump,” tambahnya.

 Perintah Strategik AS berkata, mereka mengesan dan menjejaki apa yang dinilai sebagai misil balistik jarak sederhana yang kali terakhir dijalankan pada Oktober lalu.

 Trump memberi respons dengan memberi jaminan kepada Abe yang sedang melawat AS bahawa Washington komited kepada keselamatan sekutu utama Asianya itu yang berada dalam jarak misil berkenaan.

 Jurucakap kerajaan Jepun Yoshihide Suge memberitahu wartawan di Tokyo bahawa ujian tersebut adalah provokasi jelas bagi Jepun dan wilayah.

 Korea Utara diharamkan oleh resolusi PBB daripada menggunakan teknologi misil balistik, tetapi enam set sekatan sejak ujian nuklear pertama pada 2006 gagal memaksa Utara tunduk.

 Tahun lepas ia menjalankan dua ujian nuklear serta banyak pelancaran misil dalam usaha membangunkan sistem persenjataan nuklear yang mampu sampai ke tanah besar AS.

 Pegawai tentera Korea Selatan yang dipetik sebagai berkata agensi berita Yonhap menolak kemungkinan ujian misil jarak jauh dan menggambarkan misil yang dilancarkan itu sebagai versi naik taraf misil Rodong.

 Bulan lepas pemimpin Utara Kim Jong-Un mendakwa Pyongyang dalam peringkat akhir pembangunan misil balistik antara benua (ICBM) dalam cubaan jelas untuk menekan Trump yang menjawab balik dalam Twitter dengan komen “Ia tidak akan berlaku.

” Ahli akademik Yang Moo- Jin yang berpangkalan di Seoul menyifatkan ujian terbaharu itu merupakan pelancaran keraian sempena hari jadi Kim Jong-Il pada 16 Februari, bekas pemerintah dan mendiang bapa Kim.

 Ini disebabkan Pyongyang kerap meraikan ulang tahun utama melibatkan bekas dan pemimpin semasa dengan pelancaran misil, tambah Yang yang merupakan profesor di Universiti Kajian Korea Utara.

 Pemangku Presiden Korea Selatan Hwang Gyo-Ahn berikrar akan mengenakan hukuman sewajarnya sebagai respons kepad apelancaran itu menjelang lawatan ke Seoul oleh Setiausaha Pertahanan AS James Mattis bulan ini yang pernah memberi amaran kepada Pyongyang bahawa sebarang serangan nuklear akan disambut dengan respons efektif dan menyeluruh.

 Turut mengecam ialah Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull yang menganggap ujian itu sebagai ancaman lanjut kepada kestabilan dan keamanan wilayah, sekali gus berikrar untuk bekerjasama dengan Beijing, Seoul dan Tokyo untuk terus terus menekan Pyongyang.  — AFP

Advertisement