Anda di sini

Tiga lagi mayat mangsa bot karam Tawau ditemui

Advertisement

TAWAU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa tragedi bot karam yang dipukul ombak ketika menghala ke Sungai Nyamuk pada Selasa lepas, menjumpai dua lagi mayat masing-masing di perairan Malaysia dan Indonesia, semalam.

Menurut wartawan Bernama yang menyertai operasi itu, mayat pertama seorang kanak-kanak dijumpai di perairan Tinagat, Tawau oleh anggota kastam sekitar jam 3.50 petang.

Sejurus selepas itu mayat kedua, seorang lelaki dikesan menerusi helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan Unarang, Indonesia kira-kira jam 4 petang.

Operasi SAR semalam berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik dan lautan yang tidak bergelora.

Terdahulu, SAR menemui satu mayat mangsa bot karam pada jam 5.48 petang di lokasi 1.9 batu nautika barat laut ke Kampung Titingan, Tawau kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Azlan Moja, 30-an.

Beliau berkata tujuh mangsa yang maut telah dikenal pasti iaitu Handra Hadda, 40, Taqi Muhd Zaki, 7, Mohdn Faiz,4, Nurhafiza, 2, Azlan, Nasir Selasa, dan Muhd Asraf berusia sembilan bulan.

Mohd Zubil berkata, operasi SAR mangsa yang masih hilang itu diteruskan semalam dengan keluasan lokasi pencarian 68 batu nautika persegi di perairan Tawau.

Pada Selasa, bot laju yang membawa 15 orang warga Indonesia termasuk juragan, karam dipercayai dipukul ombak besar kira-kira lima hingga 10 minit selepas bertolak dari jeti Tinagat Batu Payung.

Bot berkenaan berlepas jam 5.30 petang ke Sungai Nyamuk di Indonesia.

Sementara itu, Mohd Zubil berkata operasi mencari lima mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Pulau Mangalun 28 Jan lepas, diteruskan semalam.

“Operasi SAR hari ke-14 itu melibatkan 300 anggota dengan lapan aset masing-masing tujuh kapal dan bot serta satu pesawat.

“Operasi pencarian masih melibatkan kawasan 300 batu nautika persegi di Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam tragedi 28 Jan lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 26 mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut. 

Mohd Zubil berkata sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk menghentikan SAR itu.

“Kita akan terus lakukan operasi sehingga ada arahan untuk menghentikan operasi ini,” katanya. — Bernama

Advertisement