
JAKARTA: Seramai 12 rakyat Indonesia, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh di pulau percutian Bali akibat tanah runtuh selepas hujan lebat melanda beberapa buah kampung, menurut seorang pegawai kelmarin.
Beberapa buah rumah turut tertimbus dan mengalami kerosakan teruk dalam insiden tersebut, yang berlaku semalaman sejak kelmarin hingga semalam di daerah Kintamani di tengah Bali.
“Hujan ekstrem yang berlaku sepanjang hari kelmarin telah menyebabkan tanah runtuh di tiga kampung dan 12 orang terkorban,” jurucakap agensi bencana Sutopo Purwo Nugroho berkata.
Tiga kanak-kanak, berusia satu, tujuh dan 10 tahun, meninggal dunia di dua daripada beberapa buah kampung. Lima orang lagi tercedera, tiga daripada mereka berada dalam ke-adaan serius.
Pegawai agensi bencana tempatan berkata penduduk kampung telah dipindahkan dari kawasan yang terjejas – jauh dari pusat peranginan pantai yang terkenal di selatan Bali – dan tiada sesiapa lain yang dipercayai telah hilang.
Kejadian tanah runtuh dan banjir adalah biasa di sekitar kepulauan Indonesia yang luas, terutama ketika musim hujan sepanjang beberapa bulan yang mana kemuncaknya pada Januari dan Februari.
Pada Disember, 29 orang terbunuh dan 19 orang lagi hilang ketika banjir dan tanah runtuh melanda Garut di bahagian barat pulau utama Jawa di Indonesia.
Bali, wilayah penganut Hindu di negara majoriti penduduk Islam Indonesia, merupakan sebuah destinasi pelancongan terkenal yang menarik berjuta-juta pelancong asing ke pantai-pantainya yang dihiasi dengan pokok palma setiap tahun. — AFP