Anda di sini

Presiden AS akan hormati dasar ‘Satu China’

 Gambar gabungan menunjukkan Presiden China Xi Jinping (kiri) ketika ditemu bual di Lapangan Terbang Heathrow di London pada 19 Oktober, 2015                     dan Presiden AS Donald Trump sedang mendengar soalan daripada pemberita di New York, Amerika Syarikat pada 9 Januari, 2017. — Gambar Reuters
SEPAKAT: Gambar gabungan menunjukkan Presiden China Xi Jinping (kiri) ketika ditemu bual di Lapangan Terbang Heathrow di London pada 19 Oktober, 2015 dan Presiden AS Donald Trump sedang mendengar soalan daripada pemberita di New York, Amerika Syarikat pada 9 Januari, 2017. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin memberi-tahu Presiden China Xi Jinping beliau akan menghormati dasar ‘Satu China’, dalam perbualan pertama mereka sejak pemimpin AS itu berkuasa, kata Rumah Putih.

“Presiden Trump telah bersetuju, dengan permintaan Presiden Xi, agar menghormati dasar Satu China,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan, sambil menambah kedua-dua pemimpin telah “menghulurkan jemputan untuk bertemu di negara masing-masing.”

Dalam respons segera, Xi menerima baik pengumuman berhubung isu amat sensitif itu yang telah menyuramkan hubungan selepas Trump mencadangkan ia adalah terpulang pada rundingan.

“Xi Jinping menghargai pendekatan Trump terhadap komitmen kerajaan AS kepada dasar Satu China dan menyatakan bahawa prinsip Satu China adalah asas politik bagi hubungan AS-China,” lapor badan penyiaran rasmi CCTV.

Rumah Putih berkata perbincangan telefon – yang dilakukan pada petang pertemuan Trump dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe – “sangat ikhlas”, me-nyatakan pemimpin “tidak sabar bagi rundingan selanjutnya dengan keputusan yang lebih berjaya.”

Presiden bilionair itu kelihatan berazam mengambil pendekatan tegas terhadap gergasi Asia dalam pelbagai isu dari perdagangan hingga keselamatan.

Rumah Putih menyatakan sebelum itu bahawa Trump telah menghantar sekeping surat kepada Xi, beberapa minggu selepas menerima sekeping surat tahniah daripada pemimpin gergasi Asia tersebut.

Trump menyatakan dalam surat tersebut beliau tidak sabar untuk membentuk “satu hubungan yang membina yang akan memberikan faedah kepada kedua-dua negara Amerika Syarikat dan China,” kata jurucakap beliau, Sean Spicer, dalam satu kenyataan pada Rabu lepas.

Sejurus selepas memenangi pilihan raya November, Trump telah memprovok Beijing dengan menerima panggilan uca-pan tahniah daripada Presiden Taiwan Tsai Ing-wen, dalam apa yang dilihat sebagai me-langgar protokol.

Washington telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan pada 1979, mengiktiraf pemerintah tanah besar Komunis di Beijing sebagai kerajaan tunggal ‘Satu China’.

Trump telah membuat panggilan telefon dengan lebih 12 pemimpin asing sejak beliau dilantik pada bulan lepas.

Semasa kempen beliau, Trump telah beberapa kali menyelar Beijing kerana “mencuri” pekerjaan di AS dan mengugut untuk mengenakan ia dengan tarif yang lebih besar. — AFP