Anda di sini

China hukum kakitangan hospital selepas pesakit dijangkiti HIV, hepatitis B

SHANGHAI: Kakitangan di dua buah hospital China telah dijatuhkan hukuman selepas kegagalan mereka untuk mengikuti prosedur perubatan yang sepatutnya, menyebabkan 14 pesakit dijangkiti HIV dan hepatitis B, lapor media negara semalam.

Dua insiden berasingan itu merupakan kejadian terbaharu yang menggegarkan kepercayaan umum terhadap sistem penjagaan kesihatan di China, imej yang telah  terjejas sejak beberapa tahun lepas oleh beberapa kes melibatkan rasuah dan penggunaan rawatan yang tidak dibenarkan.

Dalam kes pertama, lima orang dijangkiti virus kurang daya tahan manusia, virus yang menyebabkan AIDS, di sebuah hospital di wilayah pantai Zhejiang selepas seorang kakitangan mengguna-kan semula sebatang tiub semasa satu prosedur yang tidak dijelaskan, lapor akhbar China Daily, memetik pihak berkuasa kesihatan.

Kakitangan tersebut telah ditahan oleh polis dan hukuman pentadbiran telah dijatuhkan terhadap beberapa orang lain di Hospital Per-ubatan China Tradisional Wilayah Zhejiang, sebuah hospital umum utama di bandar Hangzhou.

Dalam insiden kedua, sembilan pesakit di sebuah hospital di wilayah timur Shandong telah dijangkiti virus hepatitis B selepas kakitangan di unit hemodialisis di hospital beroperasi bertentangan dengan peraturan, lapor agensi berita Xinhua.

Beberapa kakitangan hospital telah dipecat, di antara mereka adalah ketua dan timbalan ketua Hospital Rakyat di bandar Qingdao, yang telah dipecat dari jawatan mereka dalam Parti Komunis.

Sistem penjagaan kesihatan di China telah merawat 1.4 bilion orang dan merupakan pasaran ubat-ubatan kedua terbesar di dunia di belakang Amerika Syarikat. — Reuters