Anda di sini

Langkawi, pulau penuh mitos dan legenda

Advertisement

(Bahagian I)

 Replika burung helang menjadi tarikan pengunjung ke Pulau Langkawi.
BURUNG HELANG: Replika burung helang menjadi tarikan pengunjung ke Pulau Langkawi.

PERCUTIAN saya ke Pulau Langkawi, Kedah selama lima hari empat malam bermula 27 hingga 31 Januari yang lalu sememangnya telah dirancang sejak bulan November tahun lalu.

Kehadiran saya bersama dua adik saya di Pulau Langkawi, Kedah kali ini adalah kali yang keenam semenjak tahun 2009.

Kali pertama saya datang ke negeri ini pada tahun 2009 dan rasanya belum lagi puas, lalu seterusnya saya datang lagi ke sini pada tahun 2010, 2011, 2012, 2015.

Perjalanan saya dan adik saya Mohamad Ardy Putera menggunakan penerbangan AirAsia dari Kuching ke Kuala Lumpur mengambil masa perjalanan selama satu jam empat puluh lima minit di mana kebetulan kami bertugas di Kuching dan tiada pilihan selain terpaksa menggunakan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Manakala seorang lagi adik saya, Zulkiffli Amir yang bertugas di Port Dickson, Negeri Sembilan hanya menggunakan satu penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Langkawi.

Saya dan Ardy pula menggunakan dua penerbangan pada 27 Januari iaitu dari Kuching ke Kuala Lumpur dan Lumpur ke Langkawi.

Memetik Portal Majlis Perbandaran Langkawi, di sini saya ingin bercerita sedikit tentang sejarah dan legenda Langkawi.

Langkawi terdiri daripada sekumpulan 99 buah pulau tropika di pesisiran barat laut Semenanjung Malaysia, lebih kurang 30 kilometer dari Kuala Perlis dan 51 kilometer dari Kuala Kedah.

Pulau utama dikenali sebagai Pulau Langkawi.

Pulau-pulau ini mempunyai warisan mitos dan legenda yang menarik, antaranya kisah gergasi dan burung garuda, pahlawan dan puteri kayangan, peperangan dan kisah cinta.

Mitos yang sering dikaitkan dengan Langkawi Pulau Legenda ialah Mahsuri Wanita Berdarah Putih.

Langkawi telah dianugerahkan status ‘Geopark’ oleh UNESCO untuk keindahan warisan geologinya yang terdiri daripada landskap yang indah, binaan batu kapur, gua, gerbang laut, longgokan rumput kering, batu tinggalan glasier dan fosil-fosil.

Dengan sejarah geologi sejak dari 500 juta tahun lalu, pulau-pulau ini mempunyai formasi batu unik yang membangkitkan imaginasi dan mengelirukan minda.

Langkawi adalah tempat yang sesuai untuk merehatkan minda setelah penat bekerja bagi mereka yang ingin lari daripada kesibukan kota.

Nikmatilah aktiviti berasaskan alam semula jadi, atau bersantai di tepi pantai.

Terdapat juga beberapa tempat-tempat menarik di Langkawi yang harus dikunjungi.

Ini termasuklah:

Mahsuri merupakan anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam.

Mahsuri telah dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mentuanya sendiri kerana ibu mentuanya berasa iri hati dengan kecantikan dan penghormatan yang dimiliki oleh Mahsuri. Akibatnya, Mahsuri dihukum mati.

Legenda Langkawi  (Mahsuri)

Pada hari hukuman berlaku, keris keramat kepunyaan keluarga Mahsuri sendiri digunakan untuk membunuhnya.

Namun begitu, terdapat satu perkara aneh berlaku apabila darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih dan itu membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata.

Pada saat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi tidak akan aman selama tujuh keturunan. Kebenaran sumpah Mahsuri itu telah termakbul apabila Langkawi telah diserang oleh tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan.

Antara kebenaran legenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju setelah tujuh keturunan berada di dalam kepayahan.

Tasik Dayang Bunting

Tasik ini diberi nama sedemikian kerana menurut satu legenda lama, ia mengisahkan tentang perkahwinan seorang puteri kayangan dengan seorang putera raja kerajaan bumi.

Anak yang lahir hasil daripada perkahwinan mereka ini telah mangkat selepas saja dia dilahirkan.

Oleh kerana puteri ini sangat sedih dan kecewa dengan kejadian yang berlaku, beliau telah menyemadikan mayat anaknya ke dalam air tasik ini.

Mat Chincang dan Mat Raya

Setelah itu, beliau telah meninggalkan bumi dan kembali pulang ke kayangan.

Puteri itu telah menjampi air tasik tersebut sebagai penawar kepada pasangan yang tidak mendapat zuriat dan dipercayai wanita yang mandul boleh kembali subur.

Mat Chinchang dan Mat Raya adalah antara keluarga gergasi yang tinggal di pulau utama di Pulau Langkawi.

Disebabkan oleh saiz mereka yang besar serta kekuatan tenaga luar biasa yang dimiliki oleh mereka, bentuk muka bumi Langkawi telah berubah dengan dramatik.

Legenda mereka bermula apabila Mat Raya bercadang untuk mengadakan kenduri bersempena dengan pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang.

Pada hari majlis itu berlangsung didapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahan Mat Raya.

Akibatnya, persahabatan antara kedua-dua keluarga ini terputus dan mereka saling bermusuhan sehingga berlakunya pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.

Pergaduhan antara kedua-dua keluarga ini telah mengubah kawasan pulau utama ini di mana tempat cincin pertunangan itu jatuh selepas dicampakkan, dinamakan sebagai Tanjung Cincin.

Kawasan di mana peralatan yang digunakan untuk memasak itu pecah pula dinamakan sebagai Kampung Belanga Pecah.

Manakala tempat kuah mengalir dinamakan Pekan Kuah dan tempat di mana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap serta kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah semasa majlis tersebut berlangsung.

Mat Raya dan Mat Chinchang pula telah bertukar menjadi gunung batu yang dikenali sebagai Gunung Raya dan Gunung Chinchang.

Manakala Mat Sawar yang menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan mereka berdua ini telah bertukar menjadi sebuah bukit yang menjadi pemisah kepada dua gunung ini.

Tempat-tempat berkenaan hanyalah sebahagian daripada ikon Langkawi.

Sebenarnya banyak lagi tempat menarik lain yang boleh dikunjungi oleh pelancong di pulau indah ini.

 Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi mengalu-alukan ketibaan pengunjung.
SELAMAT DATANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi mengalu-alukan ketibaan pengunjung.
  • oleh
  • Advertisement