Anda di sini

Dialog Niaga Agrobank kupas isu jaminan makanan dan TN50

Advertisement

Fokus strategik negara pastikan makanan negara cukup menjelang 2050

KUALA LUMPUR: Agrobank semalam mengumumkan penganjuran Dialog Niaga Agrobank (DNA) yang akan diadakan pada 13 Februari 2017 (Isnin) di Connexion @ Nexus, Bangsar South City, Kuala Lumpur. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, akan merasmikan dialog ini yang akan turut menyampaikan ucap utama yang bertajuk ‘Makanan Kita Masa Hadapan Kita: Merealisasikan TN50’

DNA merupakan satu program kepimpinan pemikiran atau ‘thought leadership programme’ yang bertujuan berkongsi isu, maklumat terkini, idea dan solusi yang berkaitan perniagaan dalam industri pertanian dan sektor makanan.

Untuk tahun 2017, topik jaminan makanan (food security) telah dipilih seiring dengan fokus strategik negara dalam memastikan keperluan makanan negara mencukupi menjelang tahun 2050 bagi Transformasi Nasional 2050 atau TN50. Dengan pertambahan penduduk yang dijangka meningkat kepada 50 juta orang menjelang 2050, kerajaan memandang serius usaha dan langkah yang perlu diambil untuk memastikan jaminan bekalan makanan negara.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman,  isu jaminan makanan bukan sekadar satu isu yang perlu dikupas dengan lebih mendalam malah memerlukan input daripada semua pihak termasuklah pihak penggubal dan pelaksana dasar, ahli akademik, pengusaha bisnes pertanian hiliran dan bisnes agro mengenai langkah dan solusi yang perlu diambil untuk memastikan usaha jaminan makanan direalisasikan.

Hakikatnya pada hari ini, Malaysia masih banyak bergantung kepada keperluan makanan import. Berdasarkan statistik pada tahun 2015, defisit imbangan dagangan makanan bagi Malaysia ialah RM18.1 billion dengan makanan import sebanyak RM45.4 billion berbanding eksport yang berjumlah RM27.3 billion. Justeru itu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sangat komited dalam usaha untuk menangani defisit imbangan ini dengan meningkatkan lagi keperluan makanan negara menjelang tahun 2050,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Tambah Dato’ Wan lagi, DNA 2017 kali ini memberi fokus kepada jaminan makanan seiring dengan hala tuju strategik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

DNA 2017 akan dimulakan dengan penyampaian ‘Prospek dan Peluang Dalam Sektor Pertanian 2017’ oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Haji Bakar,

Selepas itu, Ahmad Shabery akan menyampaikan ucap utama yang bertajuk ‘Makanan Kita, Masa Hadapan Kita: Merealisasikan TN50’. Beliau akan mengulas lanjut usaha-usaha dalam memastikan jaminan bekalan makanan mencukupi terutamanya dalam cabaran peningkatan penduduk seramai 50 juta menjelang tahun 2050.

Untuk sesi terakhir diadakan satu forum yang akan terus mengulas isu Jaminan Makanan dan memberi fokus bagaimana solusi yang wajar dimabil oleh semua pihak.

Ahli panel terdiri daripada Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad yang merupakan Profesor dalam bidang pemasaran pertanian yang juga merupakan pakar dalm bidang jaminan makanan, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank. Tiga lagi ahli panel terdiri daripada golongan usahawan agro terlibat secara langsung dalam rantaian jaminan makanan. Mereka terdiri daripada Dato’ Yap Yun Fook, usahawan makanan berjaya, Addy Rendra, usahawan muda yang menjalankan tanaman cili fertigasi, Shakran Shamsudin yang merupakan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kuala Langat. Program akan dikendalikan oleh moderator berpengalaman dalam bidang pertanian, Kamarol Bahrin.

Tempat adalah terhad, kepada mereka yang berminat untuk menyertai program dialog ini, boleh menghantarkan butiran kepada Syarifah Syameen Syed Johari di talian 03-2731 1600 sambungan 1652 atau e-mel ke [email protected] sebelum 11 Februari 2016.

Advertisement