Anda di sini

Mahkamah tolak rayuan Americk untuk interogatori

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuan oleh peguam Americk Singh Sidhu untuk mendapatkan maklumat dalam saman fitnah yang difailkan terhadap The New Straits Times Press (NSTP) (M) Bhd.

Americk menuntut ketua pengarang atau pengarah NSTP untuk menjawab soalan dalam notiis interogatori yang dikemukakan, antara lain dasar editorial akhbar The New Straits Times dan The New Sunday Times.

Selain itu, beliau turut menuntut jawapan kepada soalan iaitu sama ada mana-mana pemegang saham individu atau korporat dalam syarikat akhbar itu terlibat dalam UMNO.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Rohana Yusuf menolak rayuan tersebut selepas memutuskan bahawa tiada merit mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam itu, selaku plaintif.

Rohana, yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim turut memerintahkan Americk membayar RM10,000 sebagai kos kepada NSTP, yang merupakan defendan.

Americk memfailkan saman fitnah terhadap NSTP berhubung artikel bertajuk ‘PI’s widow issues public apology to Najib, Rosmah’ bertarikh 13 Mac tahun lepas.

Pada 1 Jun tahun lepas, peguam itu menghantar notis interogatori mengandungi 11 soalan di mana pihak defendan menjawab kesemua kecuali tiga soalan.

Pada 26 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pihak plaintif untuk interogatori.

Dalam pernyataan tuntutan, Americk berkata lebih kurang dari 2008 hingga Mac 2015, beliau dikekalkan sebagai peguam bagi mendiang P. Balasubramaniam (PI), yang meninggal dunia pada Mac 2015.

Beliau mendakwa penerbitan artikel itu telah dibuat tanpa mengesahkan fakta-fakta yang dirujuk dan telah merosakkan reputasinya.

Beliau menohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta penerbitan satu permohonan maaf.

NSTP, dalam pernyataan pembelaannya, berkata kenyataan yang didakwa fitnah itu adalah disiarkan berlandaskan perlindungan bersyarat.

Syarikat itu berkata kandungan artikel itu berdasarkan apa yang terkandung dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh isteri mendiang, Santamil Selvi dan artikel itu telah diterbitkan dalam niat baik dengan mematuhisepenuhnya kewajipan dan obligasi kewartawanan yang bertanggungjawab.

Peguam plaintif, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bahawa Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan hujahan anak guamnya bahawa tujuan soalan yang dikemukakan untuk pihak defendan menjawab adalah untuk mendapatkan fakta.

Tujuan interogatori itu adalah untuk menjimatkan masa perbicaraan, kos, mengurangkan isu dan menumpukan pada isu utama sahaja, katanya.

Peguam NSTP, Claudia Cheah berhujah bahawa notis interogatori itu adalah remeh dan Americk bebas untuk mengemukakan soalan yang sesuai kepada saksi semasa perbicaraan kes saman fitnah itu yang ditetapkan selama tiga hari mulai19 Jun ini. — Bernama

Advertisement