Anda di sini

Lanun, Filipina seru bantuan China, AS

Advertisement

Militan tempatan kini beralih perhatian kepada laluan perkapalan antarabangsa

 Lorenzana ditemu bual di pejabat kementerian pertahanan di Manila, kelmarin. — Gambar AFP
MOHON BANTU: Lorenzana ditemu bual di pejabat kementerian pertahanan di Manila, kelmarin. — Gambar AFP

MANILA: Filipina meminta bantuan Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mengawal satu lorong laut penting selepas anggota militan Islam mengalih serangan kepada perkapalan antarabangsa, kata pegawai semalam.

Manila tidak mahu Laluan Sibutu di antara negeri Sabah dengan selatan Filipina berubah menjadi syurga lanun ala Somalia, kata pegawai pasukan pengawal pantai.

Saluran air dalam itu, yang digunakan oleh 13,000 buah kapal setiap tahun, memberi laluan paling pantas di antara Australia dengan kuasa-kuasa perkilangan, China, Jepun dan Korea Selatan, tambah mereka.

Sejak setahun lalu lelaki bersenjata Abu Sayyaf dari selatan Filipina telah menaiki kapal dan menculik puluhan anak kapal untuk wang tebusan di perairan antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, yang menimbulkan rasa cemas di rantau ini.

Indonesia memberi amaran bahawa rantau ini boleh menjadi ‘Somalia baharu’ dan Biro Maritim Antarabangsa berkata perairan selatan Filipina kini semakin berbahaya.

Jika pemilik kedai mengelak kawasan itu hanya untuk mengelak kegiatan menculik di laut oleh pengganas ini, ia sudah tentu ada kos tambahan,” kata ketua Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Laksamana Muda Joel Garcia.

Ia bukan hanya masalah Filipina atau Indonesia dan Malaysia, tetapi masyarakat perkapalan antarabangsa.”

Manila merancang meminta sekutu pertahanannya sejak sekian lama, AS, mengadakan latihan bersama di perairan selatan Filipina bagi menangani masalah itu, kata Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana kelmarin.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada minggu lepas menggesa China untuk melancarkan rondaan di perairan yang dihantui lanun, dengan menyebut tentang tindakan Beijing yang menghantar konvoi tentera laut ke Teluk Aden pada 2009 untuk melindungi kapal China daripada lanun Somalia.

Duterte membuat kenyataan itu sehari selepas beliau bertemu dengan seorang utusan khas dari Indonesia yang ingin tahu apa yang dirancang oleh Manila, yang mempunyai tentera laut antara yang paling lemah di rantau, untuk menangani ancaman berkenaan.

Garcia berkata butiran bagi kerjasama rondaan laut yang berpotensi dengan China kemungkinan akan dibincangkan di satu pertemuan di antara pasukan pengawal pantai kedua-dua negara di Manila pada minggu depan.

Lorenzana berkata Manila merancang untuk “bercakap kepada kementerian pertahanan China mengenai cara untuk mengoperasikan rondaan bersama ini” di perairan selatan Filipina.

Garcia berkata insiden lanun yang semakin meningkat di sekitar Laluan Sibutu seluas 29 kilometer itu mengancam untuk menaikkan kos perkapalan pada keseluruhannya, termasuk insurans bagi kapal, kargo dan anak kapal.

Melencong kapal ke Selat Lombok di Indonesia adalah lebih mahal dan pelayaran akan memakan masa yang lebih lama, kata jurucakap pasukan pengawal pantai Filipina, Komander Armando Balilo. 

Pasukan pengawal pantai Filipina mencatatkan 12 insiden lanun atau penculikan di laluan berkenaan sejak enam bulan sahaja, selain empat cubaan yang tidak berjaya oleh lelaki bersenjata untuk menaiki kapal.

Perkara sedemikian (situasi ala Somalia) belum berlaku tetapi sekiranya ia meningkat menjadi sebuah kawasan lanun yang serius, ia pasti menakutkan kerana mereka akan mengelak laluan tersebut.

Mereka akan menggunakan laluan lain dan kos perkapalan semestinya akan meningkat,” menurut Balilo. — AFP

Advertisement