Anda di sini

Jurutera mengaku salah simpan pelbagai spesies hidupan liar di rumah

Advertisement
 Mohd Taha (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas sembilan pertuduhan menyimpan pelbagai spesies hidupan liar dilindungi termasuk seekor harimau belang, kucing batu dan burung helang merah di Kajang, semalam. — Gambar Bernama
PERTUDUHAN: Mohd Taha (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas sembilan pertuduhan menyimpan pelbagai spesies hidupan liar dilindungi termasuk seekor harimau belang, kucing batu dan burung helang merah di Kajang, semalam. — Gambar Bernama

KAJANG: Seorang jurutera yang hobinya memelihara pelbagai haiwan termasuk harimau belang dan buaya di rumahnya semalam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap sembilan pertuduhan memiliki spesies hidupan liar yang dilindungi.

Mohd Taha Abd Wahab, 51, menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim Noridah Adam, semasa kes itu disebut semula semalam dan mahkamah menetapkan 16 Feb ini untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu fakta kes.

Pada 30 Nov lepas, bapa kepada empat orang anak itu mengaku tidak bersalah atas kesembilan pertuduhan itu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhilitan Ainul Mardiyah Mohd Ali manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

Ketika ditemui pemberita, Zaflee memberitahu anak guamnya adalah seorang pencinta haiwan dan memelihara haiwan di kawasan banglonya sebagai salah satu terapi dan menjaga kesemua haiwan itu dengan baik.

Ia hobi anak guam saya. Salahnya dia tak ada lesen. Dia bukan peniaga, dia hanya seorang penggemar binatang. Dia menghidap penyakit jantung, memelihara binatang adalah sebagai terapi sakitnya,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyimpan seekor harimau belang betina dan seekor kucing batu di kediamannya di Batu 13 3/4 Jalan Sekolah, Kampung Gahal Jaya, Hulu Langat di sini pada jam 12.30 tengah hari, 19 Okt lalu.

Pertuduhan ketiga hingga kesembilan pula, tertuduh didakwa menyimpan seekor burung helang merah, seekor burung gagak gunung, dua ekor burung Murai Jambul Putih, seekor buaya jenis Schneider’s Dwarf Caiman, seekor pelanduk, seekor burung Tiong Mas dan seekor burung Murai Batu di tempat dan masa yang sama.

Kesemua haiwan itu adalah hidupan liar dilindungi dibawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi pertuduhan menyimpan harimau belang, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement