Anda di sini

DRB-Hicom sasar pemilihan rakan strategik asing pada separuh pertama 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom), pemilik Proton Holdings (Proton), menyasar memuktamadkan pemilihan Rakan Strategik Asing pada separuh pertama tahun ini.

Ia kini menunggu serahan bidaan daripada rakan strategik berpotensi yang mana selepas itu penilaian menyeluruh akan dimulakan, kata DRB-Hicom dalam satu kenyataan kelmarin.

Pihak-pihak yang berminat itu telah menjalankan kajian daya maju mereka sendiri ke atas Proton dalam beberapa minggu ini.

Penyertaan rakan strategik asing itu akan menghidupkan semula Proton apabila mendapat akses kepada platform, enjin serta teknologi baharu, yang akan menambah baik produk dan kualiti yang dihasilkan.

Kumpulan itu percaya Proton mampu menjadi pengeluar kereta yang lebih berjaya dengan penyertaan rakan strategik asing.

Perlu ditegaskan bahawa pencarian rakan strategik asing oleh DRB-Hicom untuk Proton adalah penting bagi memastikan kesinambungan pengeluar kereta nasional itu.

Pencarian rakan strategik asing bukan usaha melepaskan tanggungjawab kami tetapi tentang meningkatkan Proton sebagai sebuah pengeluar kereta, dan meletakkannya, dan Malaysia, di peta dunia,” kata syarikat itu.

Proton telah berada dalam pasaran sejak pertengahan 1980-an, dan masih mempunyai ekuiti jenama dalam pasaran tempatan, walaupun telah dan sedang mengharungi cabaran getir.     

Usaha merancakkan semula bahagian pasaran Proton ini mencerminkan hasrat DRB-Hicom untuk mengekalkan jenama tersebut sebagai pemain dalam pasaran automotif.

Sebagai syarikat tempatan, DRB-Hicom juga bangga menjadi pemilik pengeluar kereta nasional pertama dan satu-satunya pengeluar kereta di ASEAN.

Kami telah menyatakan sebelum ini yang kami akan mengekalkan ekuiti yang besar dalam Proton, dan ini tidak berubah.

DRB-Hicom juga akan menilai hasrat rakan kongsi berpotensi dalam menggunakan rangkaian vendor tempatan semasa kami,” kata syarikat itu, sambil menambah ia juga mempunyai anak syarikat yang menjadi vendor kepada Proton dan akan mengelakkan rangkaian vendor tempatan daripada diketepikan.

Dalam mencari rakan strategik asing yang tepat untuk Proton, DRB-Hicom akan menilai tiga kriteria utama iaitu keserasian strategik, keserasian operasi dan keserasian budaya.

Keserasian strategik akan membolehkan kedua belah pihak memanfaatkan semua teknologi dan produk yang sedia ada, dan memastikan Proton mampu menerima manfaat daripada operasi domestik yang lebih besar.

DRB-Hicom akan menjadikannya satu syarat bahawa jenama Proton dan teknologinya akan diperluaskan ke pasaran ASEAN dan seterusnya ke arena global.

Struktur yang wujud pada setiap syarikat haruslah mampu digabung dengan baik untuk mencapai tahap operasi yang lancar di Proton dan dalam rakan kongsi itu sendiri.

Seperti dalam mana-mana kerjasama, budaya serasi adalah antara faktor yang memastikan kejayaan. Keserasian antara kedua-dua pihak amat kritikal dalam memacu Proton ke hadapan di samping memperbaiki operasi rakan kongsi sendiri,” kata syarikat itu.

DRB-Hicom menegaskan Proton juga mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada rakan kongsi. — Bernama

Advertisement