Anda di sini

Dagangan Malaysia meningkat kepada RM1.49 trilion

Advertisement

Jumlah eksport ke ASEAN meningkat kepada 29.4 peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 1.5 peratus kepada RM1.49 trilion pada 2016 berbanding RM1.46 trilion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, eksport naik 1.1 peratus kepada RM785.93 bilion dan import berkembang 1.9 peratus kepada RM698.66 bilion, menghasilkan lebihan dagangan RM87.27 bilion, iaitu lebihan dagangan tahun ke-19 berturut-turut sejak 1998.

Mustapa berkata, jumlah eksport Malaysia ke ASEAN meningkat kepada 29.4 peratus pada 2016 berbanding 28.2 peratus pada 2015, yang tertinggi sejak 1993.

Pada Disember 2016, jumlah dagangan Malaysia mencatat pertumbuhan dua angka, iaitu 11.1 peratus kepada RM142.39 bilion berbanding setahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Menurut menteri itu, eksport pada Disember 2016 meningkat 10.7 peratus tahun ke tahun kepada RM75.55 bilion, nilai tertinggi pada 2016 dengan barangan pembuatan terus menyokong eksport Malaysia.

Beliau berkata, peningkatan jumlah dagangan pada 2016 disumbangkan oleh dagangan lebih tinggi dengan China, yang berkembang RM10.09 bilion, Amerika Syarikat (RM6.87 bilion), Korea Selatan (RM3.56 bilion), Taiwan (RM3.29 bilion) dan Arab Saudi (RM3.04 bilion).

Mustapa berkata, kenaikan besar itu juga dicapai dengan Turki berjumlah RM2.81 bilion, Hong Kong (RM1.93 bilion), India (RM1.85 bilion), Mexico (RM1.64 bilion), Brazil (RM1.52 bilion), Bangladesh (RM1.48 bilion), ASEAN (RM1.41 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) (RM549.6 juta).

Menurutnya, penyumbang utama pertumbuhan eksport pada 2016 adalah peningkatan eksport pembuatan dan pertanian masing-masing sebanyak 3.2 peratus dan 4.7 peratus, mengimbangi eksport barangan perlombongan yang lebih rendah.

Pertumbuhan berterusan eksport elektrik dan elektronik dipacu oleh permintan kukuh global untuk peranti elektronik dan peningkatan eksport ke ASEAN sebanyak 5.4 peratus dengan pertumbuhan besar ke Singapura, Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam dan Filipina.

Mustapa berkata, ASEAN kekal sebagai rakan dagangan penting dan strategik Malaysia, dengan RM230.93 bilion nilai eksport Malaysia pada 2016, kenaikan 5.4 peratus.

Dari segi dagangan, ASEAN menyumbang 27.1 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia pada 2016, bernilai RM402.66 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 0.4 peratus, katanya.

Menurut menteri itu, peningkatan eksport itu diterajui barangan pembuatan yang tumbuh RM12.97 bilion atau 6.7 peratus.

Eksport barangan pembuatan menyumbang 89.1 peratus pada 2016 berbanding 87.9 peratus pada 2015.

Pengembangan dalam sektor ini disumbang oleh eksport lebih tinggi produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, makanan diproses, kelengkapan pengangkutan, kimia dan produk kimia, jentera, peralatan dan alat ganti serta tekstil,” katanya.

Di kalangan negara ASEAN, Singapura kekal sebagai pasaran eksport terbesar dengan 49.6 peratus daripada jumlah eksport ke rantau ini.

China kekal menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun kelapan berturut-turut sejak 2009. Pada 2016, dagangan Malaysia dengan China meningkat 4.4 peratus kepada RM240.91 bilion,” kata Mustapa.

Perdagangan dengan EU meningkat 0.4 peratus kepada RM149.05 bilion. Eksport Malaysia ke EU meningkat 1.2 peratus kepada RM79.84 bilion.

Jerman, Belanda, United Kingdom, Perancis dan Belgium terus menjadi lima destinasi eksport teratas di rantau itu, menyumbang 78.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke EU, katanya.

Negara ini juga mengekalkan prestasi eksport yang kukuh ke AS dengan kenaikan 8.9 peratus kepada RM80.23 bilion.

Dagangan dengan AS tumbuh 5.3 peratus kepada RM135.88 bilion pada 2016,” kata Mustapa.

Pada 2016, eksport Malaysia ke Asia Selatan meningkat 6.9 peratus kepada RM45.39 bilion, selepas kemerosotan 0.9 peratus pada 2015.

Perdagangan dengan Asia Selatan naik 7.4 peratus kepada RM63.8 bilion pada 2016 dan import meningkat 8.6 peratus kepada RM18.4 bilion.

Pada 2016, pasaran lain yang mencatat pertumbuhan besar dalam eksport Malaysia ialah Mexico, meningkat sebanyak RM1.59 bilion, terutama produk elektrik dan elektronik, Tanzania (RM264.2 juta, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit) dan Nigeria (RM201.9 juta, produk petroleum), katanya. — Bernama

Advertisement